
Bekas personaliti televisyen, Azrinaz Mazhar Hakim menitipkan ucapan istimewa sempena ulang tahun kelahiran ke-20 anak lelakinya, Putera Abd Wakeel Bolkiah.
Artikel Berkaitan: Azrinaz Dedikasi Ucapan Ulang Tahun Kelahiran Ke-18 Buat Putera Abd. Wakeel – ‘Kehadiranmu Amat Bermakna Dalam Hidup’
Uacpan untuk Putera Wakeel

Menerusi hantaran di Instagram, Azrinaz, 46, meluahkan rasa rindu sebagai seorang ibu selain gembira melihat puteranya itu membesar menjadi lelaki dewasa yang hebat.
Buat anakku Wakeel, dua puluh tahun lalu, buat pertama kali aku mendukungmu di dalam dakapanku. Aku masih ingat harumanmu, senyumanmu, tangisanmu, dan bagaimana jari kecilmu menggenggam erat jariku.
Hari ini, kamu sudah menjadi seorang lelaki muda. Seorang putera dalam duniamu sendiri, dikelilingi pelbagai peluang, kesenangan dan segala nikmat yang mampu diberikan kehidupan.
Dalam perkongsian sama, Azrinaz turut mengakui ada perkara yang tidak mampu diberikannya kepada anak tersayang termasuk mengembalikan masa yang telah berlalu.
Aku tidak mampu menghadiahkanmu sebuah kerajaan. Aku juga tidak mampu mengembalikan tahun-tahun yang telah hilang antara kita. Aku tidak mampu memberimu kuasa dan segala kemewahan dunia.
Namun ada satu perkara yang tidak pernah berhenti aku berikan, sesuatu yang tidak pernah meninggalkanmu walaupun kehidupan memisahkan kita iaitu kasih seorang ibu.
Tambah Azrinaz, kasih sayang seorang ibu sentiasa wujud dalam hatinya walaupun tidak dilihat dengan mata kasar dan doanya akan terus mengiringi perjalanan hidup anaknya.
Kasih yang diam, tidak terlihat, tetapi sentiasa hadir mengiringi setiap tahun perjalanan hidupmu. Kamu membesar dengan segala yang mampu dibeli dengan wang, sedangkan aku hidup dengan satu perkara yang tidak mampu diganti dengan apa jua nilai.
Selamat ulang tahun kelahiran ke-20, anakku. Daripada seseorang yang tidak pernah berhenti berharap, menunggu, memerhati dan mendoakanmu.
Untuk rekod, Azrinaz pernah mendirikan rumah tangga dengan Sultan Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah pada tahun 2005 sebelum perkahwinan mereka berakhir selepas lima tahun.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Putera Abd Wakeel Bolkiah dan Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah.
Azrinaz kemudian berkahwin semula dengan bekas rakan sekerjanya di TV3, Firoz Khan Abdul Hamid pada 1 Mei 2018 dan pasangan itu turut dikurniakan dua orang cahaya mata.
Sumber: Instagram








