
Dulu, peminat mengenali selebriti menerusi televisyen, majalah, radio atau wawancara sekali-sekala. Tidak semua perkara tentang kehidupan mereka mudah diketahui dan elemen ‘misteri’ itulah yang kadang-kadang membuatkan seseorang bintang semakin menarik.
Tetapi landskap itu sudah berubah. Hari ini, peminat boleh melihat artis ketika bekerja, bercuti, makan, bersenam, berada di belakang tabir malah kadang-kadang ketika meluangkan masa bersama keluarga menerusi Instagram, TikTok, Threads dan platform lain.
Malah Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sendiri pernah berkongsi ada orang merakamnya ketika sedang membuat pembayaran di kaunter. Beliau memahami keterujaan peminat, tetapi tetap meminta orang ramai menghormati privasi kawasan kediamannya atas faktor keselamatan.
Dalam negara yang mempunyai sekitar 30.7 juta identiti pengguna media sosial pada Oktober 2025, bersamaan kira-kira 85 peratus populasi Malaysia, tidak hairanlah kehidupan artis kini sentiasa berada beberapa klik sahaja daripada peminat.
Jadi, masih bolehkah artis zaman sekarang menjadi ‘misteri’?
Artikel Berkaitan: Adakah Media Sosial Menghakis Misteri Seorang Selebriti?
Artikel Berkaitan: Bakat Tak Lagi Cukup? 5 Sebab Kontroversi Jadi ‘Mata Wang’ Populariti Artis Hari Ini
Enam Sebab Selebriti Perlu Beri Akses Kepada Kehidupan Peribadi
1. Dalam Lautan Content, Artis Juga Bersaing Untuk Perhatian
Bukan artis sahaja yang muncul di feed pengguna hari ini. Mereka bersaing dengan content creator, influencer, streamer, jenama, meme, berita dan jutaan kandungan lain.
Behind the scenes, rehearsal, perjalanan ke set, video spontan dan momen santai turut menjadi sebahagian daripada cara seseorang selebriti mengekalkan hubungan dengan penonton.
Datuk Seri Siti Nurhaliza misalnya bukan sahaja dikenali melalui konsert dan karya muzik. Aktiviti harian beliau di luar pentas juga boleh dirakam, dimuat naik dan menjadi bahan perbualan orang ramai.
Ini menggambarkan perubahan besar budaya selebriti. Artis tidak lagi hanya ‘muncul’ ketika mereka sedang bekerja. Kehidupan biasa mereka juga boleh menjadi content.
Kajian dalam jurnal Computers in Human Behavior terhadap 429 pengikut selebriti mendapati perkongsian mengenai kehidupan profesional dan peribadi selebriti boleh meningkatkan rasa social presence, yang seterusnya mempunyai hubungan positif dengan parasocial interaction antara peminat dengan selebriti.
Sumber: Computers in Human Behavior, Elsevier; mStar
2. Peminat Sekarang Mahu Kenal ‘Manusia’ Di Sebalik Artis
Hari ini, mempunyai lagu hit atau drama popular sahaja tidak semestinya memenuhi rasa ingin tahu peminat. Mereka juga mahu tahu personaliti sebenar seseorang artis.
Bagaimana kehidupan rumah tangga mereka? Apa rutin hariannya? Bagaimana mereka sebagai ibu atau bapa? Namun apa yang dipaparkan di media sosial tidak semestinya keseluruhan cerita.
Pelakon, Scha Alyahya, misalnya, menjelaskan apa yang dilihat mengenai rumah tangganya bersama Awal Ashaari di media sosial hanyalah sisi positif. Scha mengakui mereka turut melalui cabaran seperti pasangan lain tetapi memilih untuk tidak berkongsi semuanya kepada umum.
Situasi ini menarik kerana media sosial boleh mencipta perasaan peminat ‘tahu’ kehidupan seseorang artis sedangkan sebenarnya mereka hanya melihat bahagian yang dipilih untuk ditunjukkan.
Kajian lain dalam Computers in Human Behavior turut mendapati pendedahan diri yang lebih intim boleh meningkatkan persepsi terhadap authenticity seseorang figura media.
Sumber: mStar; Computers in Human Behavior, Elsevier.
3. Wajah Anak Artis Pun Jadi Perhatian
Apabila seseorang selebriti berkahwin dan mempunyai anak, perhatian peminat kadangkala turut berkembang kepada keluarganya. Contoh paling jelas ialah selebriti, Noor Neelofa. Selama ini Neelofa dan suaminya, PU Riz memilih untuk tidak terlalu mendedahkan wajah anak-anak mereka di media sosial.
Pada Februari 2026, Neelofa menjelaskan dia berasa lebih tenang dengan keputusan tersebut kerana tidak perlu membaca komen atau perbandingan netizen mengenai anak-anaknya. Malah jika bertemu secara fizikal, mereka tidak menyembunyikan anak, tetapi meminta orang ramai supaya tidak merakam dan menyebarkan wajah mereka.
Namun apabila rakaman lama anak sulungnya, Muhammad Bilal kembali tersebar, ia tetap mencetuskan perhatian besar netizen. Ini menunjukkan satu realiti baharu selebriti, bukan artis sahaja menjadi public figure, keluarga mereka juga boleh menerima tempias perhatian.
4. Bila Artis Kongsi Sedikit, Orang Mahu Tahu Lebih Banyak
Ada juga selebriti yang memilih untuk menjadi lebih terbuka apabila sampai satu tahap dalam kehidupan. Selebriti, Erra Fazira, misalnya, pada 2025 mengakui dirinya semakin selesa berkongsi sedikit mengenai kehidupan peribadi di media sosial.
Namun Erra menegaskan dia masih menyayangi privasi dan tidak mahu keterlaluan dalam berkongsi. Selepas mendirikan rumah tangga, Erra dan suaminya juga membuat kesepakatan untuk tidak membawa perkara negatif atau perselisihan rumah tangga ke media sosial.
Ini menunjukkan artis sebenarnya berdepan satu bentuk balancing act. Terlalu tertutup, peminat mahu tahu. Terlalu terbuka, ruang peribadi pula semakin mengecil. Artis akhirnya perlu menentukan sendiri di mana garis antara ‘berkongsi’ dan ‘terlebih berkongsi’.
5. Ada Perkara Peminat Mahu Tahu, Tapi Artis Tetap Berhak Kata ‘Tidak’
Menjadi selebriti tidak bermaksud semua perkara perlu mempunyai penjelasan awam. Pelakon, Fasha Sandha, misalnya, pernah meminta diberikan ruang apabila isu mengenai penampilan peribadinya menjadi perbualan.
Fasha menegaskan perkara berkenaan merupakan urusan peribadi dirinya dan keluarga serta memilih untuk tidak memberikan penjelasan kepada umum.
Begitu juga Nabila Razali yang memilih untuk tidak terlalu mendedahkan anaknya di media sosial.
Nabila berkata dia menghormati keputusan suaminya mengenai privasi anak mereka, malah pada September 2026 mendedahkan terpaksa menolak tawaran komersial yang mahu menampilkan anaknya kerana keluarga merasakan belum tiba masanya untuk si kecil terdedah kepada dunia hiburan.
Dua situasi ini membawa kepada satu perkara penting. Minat orang ramai tidak sama dengan hak untuk mengetahui. Peminat boleh ingin tahu, tetapi artis tetap mempunyai hak menentukan bahagian kehidupan yang mahu dikongsi.
7. Sebenarnya, Sedikit ‘Misteri’ Mungkin Masih Penting
Menariknya, kajian menunjukkan formula terbaik bukanlah berkongsi sebanyak mungkin. Kajian yang diterbitkan dalam Journal of Business Research menganalisis lebih 350,000 hantaran Instagram daripada 1,437 selebriti.
Hasilnya mendapati perkongsian kandungan peribadi mempunyai hubungan dengan populariti media sosial, tetapi hubungan tersebut berbentuk inverted U-shape.
Dalam bahasa mudah, terlalu sedikit perkongsian mungkin menyebabkan peminat kurang rasa dekat, tetapi terlalu banyak perkongsian juga tidak semestinya lebih baik.
Kajian itu memberikan perspektif menarik terhadap keadaan artis Malaysia hari ini. Neelofa masih boleh menetapkan batas mengenai anak. Scha Alyahya tidak perlu menunjukkan segala cabaran rumah tangga. Erra Fazira boleh berkongsi kebahagiaan tanpa menceritakan perselisihan. Fasha Sandha pula boleh memilih perkara yang tidak mahu dijelaskan.
Mungkin menjadi artis pada zaman media sosial bukan bermaksud kena kongsi semuanya. Sebaliknya, seni sebenar sekarang adalah mengetahui apa yang patut dikongsi dan apa yang patut kekal menjadi misteri.
Sumber: Journal of Business Research, Elsevier (2023), DOI: 10.1016/j.jbusres.2022.113524.
Artis Mahu Privasi, Peminat Mahu Akses
Perubahan ini mungkin tidak boleh dielakkan sepenuhnya. Malaysia mempunyai jutaan pengguna media sosial dan platform seperti TikTok, Instagram serta Threads sudah menjadi sebahagian besar daripada cara masyarakat mengikuti dunia hiburan.
Untuk artis, platform tersebut sangat berguna. Mereka boleh mempromosikan karya sendiri, berhubung terus dengan peminat dan membina personal branding tanpa bergantung sepenuhnya kepada media tradisional.
Tetapi semakin banyak akses diberikan, semakin mudah wujud expectation akses itu perlu diteruskan. Malah urusan membeli barang pun boleh dirakam tanpa artis sendiri mengeluarkan telefon. Jadi mungkin zaman selebriti penuh misteri belum mati.
Cuma untuk menjadi misteri pada zaman semua orang mempunyai kamera dan akaun media sosial, ia jauh lebih sukar berbanding dahulu. Dan akhirnya, mungkin soalan yang sepatutnya kita tanyakan bukan, ‘kenapa artis tak kongsi?’ Tetapi ‘sejak bila menjadi artis bermaksud kita perlu tahu semuanya?’