Foto: Metro TV
Seorang wanita berusia 56 tahun maut akibat dirempuh sebuah motosikal ketika melintas jalan raya di Jalan UMS berhampiran Kampung Rampayan, Manggatal, Kota Kinabalu pada pagi Selasa.
Artikel Berkaitan: Wanita Meninggal Dunia Sejurus Selesai Khatam Al-Quran Di Masjid
Sempat tolak cucu sebelum dilanggar
Memetik laporan Harian Metro, mangsa serta penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas kedua-dua mereka mengalami kecederaan di bahagian kepala.
Manakala pembonceng wanita yang berusia 47 tahun serta cucu perempuan kepada mangsa yang berusia sembilan tahun hanya mengalami cedera ringan.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah memaklumkan bahawa ketika kejadian, mangsa dikatakan ingin melintas jalan bersama cucunya sebelum dilanggar penunggang motosikal yang membonceng teman wanitanya.
Penunggang motosikal gagal mengelak dan terus merempuh wanita terbabit sebelum terbabas ke bahu jalan.
Kanak-kanak perempuan hanya mengalami kecederaan ringan selepas sempat ditolak oleh neneknya bagi mengelakkan daripada dilanggar motosikal.
Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sumber: Harian Metro