berita

Seorang Daripada Dua Beradik Yang Hilang Ditemukan Selamat

January 17th, 2024 | by Shahira
Kini Trending

Seorang daripada dua beradik lelaki yang dilaporkan hilang di Taman Bernam Jaya, Hulu Bernam, Selangor pada 1 Jan lepas ditemukan dalam keadaan tidak bermaya di Stesen LRT Pasar Seni, pada malam, 11 Jan lepas.

Dakwa dilarikan individu

Ibu mangsa yang berusia 39 tahun berkata anaknya yang mesra dengan panggilan Along, berusia 17 tahun mendakwa dia dan adiknya, yang berusia 16 tahun, telah dilarikan oleh individu yang tidak dikenali sebelum dibawa dan dikurung di sebuah motel di Jalan Petaling.

Along mendakwa dia dikurung bersama adiknya sehingga 9 Jan lepas sebelum dipisahkan. Dia bagaimanapun berjaya melarikan diri ketika lelaki yang menjaganya tertidur akibat pengaruh dadah dan turut berjaya melarikan telefon bimbit milik lelaki itu.

Beliau berkata sejurus selepas melarikan diri, anak sulungnya bertindak menghubunginya menggunakan telefon bimbit berkenaan untuk memaklumkan keberadaannya dan dia kemudiannya menelefon pihak polis bagi memaklumkan perkara itu.

Anggota polis dari Balai Polis Tun HS Lee kemudian, katanya telah bergegas ke lokasi anaknya berada dan dibawa ke balai untuk siasatan lanjut.

Along kemudian membawa polis ke tempat dia dikurung dan saya difahamkan seorang lelaki telah ditahan berhubung kehilangan kedua-dua anak saya itu.

Beliau mendakwa sehingga kini anaknya sering meracau serta menjerit dalam tidur. Pada masa yang sama, beliau berharap seorang lagi anaknya dapat ditemukan segera dan memohon orang ramai untuk sama-sama mendoakan agar anaknya yang berusia 16 tahun itu dijumpai dalam keadaan selamat.

Pada 4 Jan lepas media melaporkan dua beradik lelaki, masing-masing berusia 16 dan 17 tahun dilaporkan hilang di Taman Bernam Jaya, Hulu Selangor, pada pagi 1 Jan lepas. Kedua-dua remaja dilaporkan hilang selepas pulang daripada solat subuh di surau kawasan perumahan mereka di Taman Bernam Jaya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi berkata pihaknya menerima pemakluman tentang kes itu dan ia sedang disiasat oleh pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor.

Sumber: BERNAMA

SKIP THIS AD ×