Di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Pulau Pinang, empat orang maut manakala tiga lagi cedera parah selepas motosikal yang ditunggang mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan beberapa kenderaan termasuk kereta, semalam.
Penunggang keempat meninggal dunia
Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, mangsa keempat yang meninggal dunia ialah Muhammad Harith Zikri Yusnizar, 17 tahun. Tambah beliau lagi, Mohd Haziq bin Harris masih dirawat di zon merah akibat kecederaan di kepala manakala Muhammad Rahimi Shukor kini berada di zon kuning akibat kecederaan di muka dan kepala. Sementara itu, Muhammad Shazwan Hafiz dirawat di zon kuning akibat kecederaan di bahagian kaki, tangan dan muka.
Kesemua mangsa yang terbabit nahas itu berasal dari Negeri Pulau Pinang dan Kedah. Pihak polis menerima panggilan berhubung kemalangan pada jam 4.30 pagi membabitkan laluan di Lebuh raya Tun Dr Lim Chong Eu menghala ke Pusat Bandar.
Kemalangan itu membabitkan beberapa motosikal yang disyaki menyertai aktiviti lumba haram. Beberapa penunggang motosikal dipercayai hilang kawalan dan merempuh antara satu sama lain. Dalam kejadian itu, dua kenderaan jenis Perodua Myvi dan Proton Waja turut dirempuh dari arah belakang oleh kumpulan penunggang motosikal berkenaan.
Hilang dua anak disebabkan kemalangan
Bapa kepada Muhammad Shazwan Hakim iaitu Abdul Sani memberitahu bahawa jenazah anaknya selamat dikebumikan, semalam. Anak sulung daripada empat beradik itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Maung. Tambah Abdul Sani, upacara pengebumian anaknya itu turut dihadiri kira-kira 50 sahabat handal dan sanak-saudara.
Ujar Abdul Sani lagi, dia reda dengan pemergian anak sulungnya selepas selang empat bulan anak ketiganya, Muhamad Shazril Haikal maut dalam kemalangan di Parit Buntar, Perak.
Saya sememangnya masih terkejut dengan berita kematian anak sulung namun terpaksa reda dengan kehendak Ilahi.
Dalam kejadian kemalangan itu, seorang lagi adik kembar, Muhamad Shazwan Hakim iaitu Muhamad Shazwan Hafis mengalami kecederaan parah dan kini masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Pulau Pinang (HPP).
Sumber: Harian Metro & Kosmo