Hampir setahun mendiamkan diri, penyanyi dan pelakon Andi Bernadee akui dalam proses untuk mengembalikan semula kekuatan diri selepas mengalami masalah kesihatan mental yang berpunca daripada kes pecah amanah oleh individu dipercayai dan terkena buatan orang sekitar awal tahun 2021.
‘Saya masih berusaha jadi diri sendiri semula’
Ketika ditemui OhBulan!, Andi atau nama sebenarnya Andi Azrul Andi Mapangile memaklumkan insiden yang menimpanya itu memberikan impak besar terhadap hidupnya sehingga mengganggu kerjayanya sebagai anak seni. Malah Andi juga pernah terfikir mahu menutup akaun media sosialnya dan meninggalkan dunia seni.
Saya berdepan masalah sukar hendak hafal skrip apabila masuk ke set penggambaran. Seperti masalah daya ingatan yang singkat, susah sangat nak masuk dalam kepala. Berikutan keadaan saya itu, banyak tawaran mengadakan persembahan dan lakonan ditolak.
Setahun lebih berehat daripada aktiviti seni dan selama tempoh berdiam diri, saya ada juga bercuti mencari ketenangan tapi tak kongsi di media sosial.
Difahamkan, keadaan kesihatan mental Andi kini sudah hampir pulih tetapi dalam masa yang sama, pelantun lagu Donde ini masih berusaha dengan perubatan alternatif untuk proses penyembuhan.
Saya banyak bersendiri dan orang kata bila kita bersendiri, musuh utama kita adalah diri sendiri kan. Saya masih berusaha jadi diri sendiri semula.
Andi ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu rayanya bersama Ryan Bakery berjudul Raya Last Minit, semalam, bagaimanapun meluahkan rasa syukur kerana memiliki sistem sokongan yang kuat termasuk keluarga untuk terus kuat bertahan sebagai anak seni.