Penyanyi Andi Bernadee memberikan respon berhubung dakwaan segelintir warganet yang mengatakan lagu-lagu dari album terbaharunya Ding Geding menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Dulu Saya Kena Makan 15 Biji Ubat Sehari, Sekarang Hanya Dua’ – Andi Bernadee Makin Pulih, Beri Respon Imej Berselubung Dengan Kain Putih

Artikel Berkaitan: Andi Bernadee Mahu Naikkan Berat Badan, Hilang 20 Kg Sejak Sembilan Bulan Lalu – ‘Sekarang Saya 46 Kg’

Nafi guna AI

Ketika ditemui OhBulan!, Andi atau nama lengkapnya Andi Azrul Andi Mapangile, 35, menafikan dakwaan tersebut, sebaliknya gaya penulisan yang unik dan luar daripada kebiasaan itu telah digunakannya sejak dari dahulu lagi.

Tidak (bukan AI), sebab saya memang pelik.

Teknologi kita sudah maju ke depan dan lirik yang saya hasilkan pun memang pelik sejak dari dulu lagi.

Cumanya mereka kata ada sesetengah keywords yang boleh dikaitkan dengan AI, tapi saya okay sahaja.

‘Aku steady, vibe aku okay’.. saya tak pernah pakai benda-benda itu dalam lirik saya sebelum ini.

Tapi mengapa sekarang saya tak boleh pakai? Sedangkan ada yang gunakan lirik seperti itu.

Bagaimanapun, Andi berpendapat teknologi tersebut tidak boleh ditolak kerana hakikatnya AI kini digunakan secara meluas dan harus dimanfaatkan secara bijak supaya tidak ketinggalan.

Tambah Andi, dia tidak mahu mengambil pusing akan dakwaan tersebut dan memilih untuk menumpukan kepada beberapa perkara yang sedang diusahakannya.

Saya tak boleh nak rasa kesal atau marah, sekarang ada segelintir yang anti AI dan ada juga yang pro AI.

Kita kena terima perkara itu, kalau tidak kita akan tertinggal ke belakang dan orang lain akan memanfaatkannya.

Pada saya, kalau nak cakap apa pun cakaplah. Sekarang ini banyak lagi perkara yang sedang saya lakukan.

Andi berkata demikian ketika ditemui di konsert Bintang Uni-verse 2026 yang berlangsung di Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada Ahad. 

Sementara itu, pelantun lagu Donde tersebut menjelaskan bahawa penggunaan AI dalam industri muzik bukanlah sesuatu yang baharu, malah digunakan sejak dari dahulu untuk penghasilan sesebuah lagu.

Sebenarnya dari 10 ke 20 tahun lepas sudah ada AI, semua sample sample lagu antarabangsa yang kita dengar digunakan sana sini.

Jadi pada saya tak ada isu pun, siapa-siapa nak pakai AI, pakai sahajalah.

Buat masa ini saya tiada perancangan lagi untuk guna AI dan saya pun masih fokus dengan album.