Coretan yang ditulis oleh penyanyi dan aktivis kemanusiaan Zizi Kirana serta adiknya, Nurul Nazielah telah membuatkan ramai tersentuh.

Artikel Berkaitan: ‘Kapal Kami Didatangi 15 Dron & Sedang Bersiap Sedia Dengan Sebarang Kemungkinan’ – Zizi Kirana

Artikel Berkaitan: Zizi Kirana Jarang ‘Video Call’ Keluarga Sepanjang Misi Kemanusiaan – ‘Saya Tak Mahu Mereka Sedih’

Doa adik

Di laman Threads, Nurul Nazielah mengakui emosinya sedikit terganggu selepas Zizi menyertai pelayaran Global Sumud Flotilla ke Gaza.

Kau adalah darahku, kau adalah jantungku, kau adalah hidupku

Kami jarang meluahkan perasaan antara adik beradik di media sosial tapi kepergian kakak ke Gaza, saya jadi lebih emosi.

Walau bagaimanapun, Nurul Nazielah tetap mendoakan Zizi meskipun berasa gusar dengan keselamatannya.

Setiap hari tengok tracker, setiap hari tanya dalam group. 

Tiada siapa yang tak risau, dia satu-satunya kakak saya tapi pada akhirnya semua Allah yang pegang.

Ya Rabb. Seluruh hamba-hambaMu mendoakan Global Sumud Flotilla dapat menyelesaikan misi mereka dengan selamat. 

Kita sama-sama doa okay semua.

Perkongsian Zizi

Dalam masa yang sama, Nurul Nazielah turut berkongsi hantaran yang dimuat naik oleh Zizi di Instagram Story.

Menerusi hantaran tersebut, pemilik nama Nur Fazelah @ Zizie Mad Tahil, 40, itu menitipkan pesanan untuk adik tercintanya. 

Ini adik perempuan saya, anak kedua selepas saya. Jika apa-apa berlaku kepada saya, dialah yang akan menggantikan tempat saya sebagai kakak sulung.

Kakak Ela, terima kasih untuk kasih sayang sejak kecil bersama-sama. Kita tidak pernah gaduh. Tak boleh berpisah, kalau berpisah sekejap pun mesti menangis.

Saya tahu kamu seorang wanita yang sangat kuat, walaupun kadang-kadang boleh menjadi sedikit emosional. 

Jaga diri kamu dan keluarga kita dengan baik. Jadilah contoh yang baik untuk adik-adik kita dan tolong jaga ibu. 

Berilah kasih sayang tanpa syarat kepada ibu dan adik-adik. Semoga Allah sentiasa melindungi kamu semua dengan rahmat dan kasih sayangNya. Saya sangat menyayangi kamu, Kakak Ela.

Terdahulu, Zizi serta beberapa selebriti dan aktivis kemanusiaan seperti Ardell Aryana, Farah Lee dan PU Rahmat menyertai Global Sumud Flotilla dalam misi menghantar bantuan asas kepada penduduk Gaza.

Sebanyak 24 kapal flotilla dengan lebih 1,000 peserta antarabangsa daripada 44 negara termasuk Malaysia telah berlepas dari Pelabuhan Barcelona, Sepanyol menuju Gaza.

Sumber: Threads