Konsert Rock Car Park dijadualkan berlangsung pada 9 Mei 2026 di Rooftop Campbell Complex. Berita ini diumumkan menerusi sidang media yang diadakan di Campbell Complex, Jalan Dang Wangi, pada 9 Februari lalu.

Artikel Berkaitan: 55,000 Penonton Hadir Konsert ‘Majlis Tertinggi Rockqueen’ Ella, RM100,000 Berjaya Dikumpul Untuk Kebajikan

Artikel Berkaitan: Suami Dedah Ella Aktif Beri Sumbangan, Pilih Untuk Tidak Hebahkan Secara Umum – ‘Kalau Tak Cerita, Lagi Banyak Pahala’

Persembahan muzik rock

Sidang media tersebut bertujuan memperkenalkan konsep acara, perancangan promosi serta hala tuju pelaksanaan program.

Majlis turut mengumumkan penglibatan beberapa artis rock tempatan seperti MAY, Sofea, Bloodshed, Wicitra, serta Shasha and The Boys, selain beberapa lagi nama besar yang akan diumumkan secara berperingkat.

Konsert ini bakal mengetengahkan persembahan muzik rock dalam suasana urban terbuka, menawarkan pengalaman berbeza berbanding format konsert konvensional. Penganjuran ini bertujuan menyediakan platform kepada penggiat muzik rock tempatan serta menghimpunkan peminat muzik rock daripada pelbagai generasi.

Selain itu, konsert ini juga dilihat sebagai usaha menyemarakkan semula perkembangan muzik rock tempatan selaras dengan landskap industri hiburan semasa.

Jualan tiket akan dibuka menerusi platform Ticket2U bermula 12 Februari 2026 dengan harga Presale RM100, Early Bird RM120 dan harga Normal RM150. Turut ditawarkan ialah Pakej Eksklusif dengan tambahan RM289 yang merangkumi T-Shirt serta kasut Limited Edition Rock Car Park daripada Fung Keong.

Mahu perkukuh genre rock

Menurut Pengarah Urusan, Najmi Rahim, penganjuran konsert ini diyakini mampu memberi impak positif kepada industri muzik rock tempatan serta memperkukuhkan kedudukan genre tersebut dalam arus perdana hiburan tanah air.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Khairul Mustaqim Zainal, menegaskan bahawa konsert ini bukan sekadar acara hiburan, tetapi satu platform penyatuan komuniti rock yang merentasi generasi dan latar belakang.

Khairul Mustaqim turut memaklumkan bahawa pihak penganjur memberi penekanan terhadap aspek keselamatan, kelancaran operasi serta pengalaman penonton bagi memastikan acara berlangsung dengan teratur dan profesional.

Pihak penganjur berharap Konsert Rock Car Park akan menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada bakat tempatan serta merancakkan kembali semangat rock dalam kalangan peminat muzik di Malaysia.