Diuji dengan pelbagai dugaan hidup, penyanyi Shila Amzah mengakui insiden melarikan diri dari rumah sekitar 2013 menjadi detik paling gelap dalam hidupnya sekali gus merupakan kenangan pahit yang tidak mampu dilupakan.

Artikel Berkaitan: Shila Amzah Restu Ibu Bakal Berkahwin – ‘Tak Payah Tunggu, Kalau Boleh Cepat-Cepat’

Lari rumah

Shila atau nama penuhnya Nurshahila Amir Amzah, 34, berkata, ketika kejadian itu berlaku, dia pernah terfikir untuk menamatkan riwayat hidup akibat tekanan emosi yang tidak tertanggung.

Saya pernah (terdetik tamatkan hidup). Ketika itu kejadian saya lari rumah, saya tahu masih ramai yang ingat dan insiden itu mengegarkan seluruh Malaysia. Saya juga ada buat satu video ketika itu.

Saya lari kerana cuba untuk selamatkan diri, tiada siapa tahu ke mana saya pergi ketika itu. Itu adalah momen terendah dalam hidup saya.

Shila berkongsi perkara itu ketika menjadi tetamu di podcast Kita-Kita Aje! yang dikendalikan oleh pengacara terkenal, Aznil Hj Nawawi.

Menurut pelantun Patah Seribu itu, meskipun menghilangkan diri, dia masih mengambil langkah berhati-hati agar ibu bapanya tidak berasa bimbang.

Namun sebelum 24 jam, saya akan mesej ibu bapa saya maklumkan saya dalam keadaan baik. Saya buat begitu supaya mereka tidak boleh klasifikasikan saya hilang. Saya hanya mahukan ruang.

Seandainya saya masih di rumah ketika itu, saya tiada lagi di sini hari ini (masih bernyawa).

Meskipun tiada sesiapa di sisi pada ketika itu, Shila mengakui dirinya menemui titik ketenangan yang dicari selama ini selepas meluahkan segala perit yang ditanggung kepada Allah.

Ketika momen saya bersendiri itu, saya jumpai ketenangan. Saya dapat berfikir dan bercakap dengan Allah.

Saya tiada tempat ingin dituju selain berharap kepada Allah. Mental saya sangat koyak ketika itu.

Saya bukan nak salahkan ibu bapa, mungkin mereka tidak berapa memahami perasaan saya. Peristiwa itu sangat buat saya ‘down’.

Sumber: YouTube