berita

Shila Amzah & Ubai Bertunang, Netizen Doakan Urusan #ShiBai Dipermudahkan

May 27th, 2023 | by Shahrin
Kini Trending

Bukan gimik! Penyanyi, Shila Amzah akhirnya selamat mengikat tali pertunangan bersama pempengaruh media sosial, Ubai MZ.

Artikel Berkaitan: ‘Terima Kasih Cinta, Saya Akan Sentiasa Mencintai Awak’- Ubai

Artikel Berkaitan: Cinta Ubai & Shila Amzah Bertahan 5 Bulan Ja?

Shila Ubai bertunang

Berita gembira itu dikongsikan sendiri oleh Shila atau nama lengkapnya Nurshahila  Amir Amzah di laman Instagram miliknya sebentar tadi.

Menurut Shila, majlis tersebut diadakan secara kecil-kecilan dan hanya dihadiri oleh keluarga terdekat sahaja.

Alhamdulillah, terima kasih buat semua kawan-kawan kami tolong selesaikan majlis ini (pertunangan).

Ubai dan saya memilih untuk mengadakan majlis pertunangan secara kecil-kecilan (ahli keluarga sahaja), alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar.

Terlebih terkurang daripada pihak saya, kami minta maaf.

Menerusi perkongsian tersebut, Shila turut berkongsi beberapa keping foto menyaksikan dia dan Ubai  manis mengenakan busana berwarna ungu sambil duduk di atas pelamin.

Selain itu, pelantun lagu Patah Seribu itu turut meminta orang ramai mendoakan yang terbaik buat mereka berdua.

Dan yang terakhir, terima kasih buat semua yang mendoakan kami. Semoga kami kuat menghadapi segala apa yang mendatang.

Sementara itu, usaha Oh Bulan! untuk mendapatkan kenyataan pempengaruh berusia 25 tahun itu tidak berjaya apabila panggilan telefon tidak berjawab.

Ucapan tahniah

Menjengah ke ruangan balas, rata-rata rakan selebriti dan wargamaya menyampaikan ucapan tahniah selain mendoakan urusan pasangan itu dipemudahkan sehingga ke hari perkahwinan.

Terdahulu, Shila memberi bayangan mengenai hubungan cintanya dan Ubai sudah pun putus sehingga menimbulkan tanda tanya dalam kalangan wargamaya sama ada berita itu benar ataupun gimik semata.

Untuk rekod, Shila pernah mendirikan rumah tangga bersama Haris Idraki Elias pada April 2018. Namun usia perkahwinan hanya bertahan selama empat tahun apabila mereka disahkan bercerai pada Februari 2022.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang putera bernama Seth Uwais yang kini berusia tiga tahun.

Sumber: Instagram

SKIP THIS AD ×