Susulan tular video usahawan Watie Hanifiah bermain golf sambil berlatar belakang suara lelaki yang didakwa mirip pelawak Shuib, pengasas Bubble Bee itu tampil menafikan sekeras-sekerasnya tuduhan tersebut.
Artikel Berkaitan: Netizen Syak Suara Shuib Dalam Video Main Golf, Watie Cakap Tak Baik Fitnah Orang!
Tuduhan yang tidak adil
Memetik laporan Harian Metro, Shuib berkata bahawa perkataan ‘nice’ yang disebut seorang lelaki dalam video itu bukan dirinya, dan menyifatkan tuduhan tersebut satu perkara yang tidak adil dan tidak baik.
Saya menafikan apa yang berlegar di media sosial berhubung satu video yang menunjukkan Watie sedang memukul bola golf dan ada kedengaran seperti suara saya.
Ada yang mengatakan saya sudah lama mempunyai skandal dengan wanita itu sejak 2019. Tuduhan itu sangat tidak adil dan baik untuk saya dan Allahyarham Siti Sarah.
Kalau dengar semula rakaman itu memang perkataan ‘nice’ yang disebut seorang lelaki mirip suara saya, tapi individu di belakang dalam video itu bukan saya. Tak sama langsung. Biasalah kalau satu ayat senang dan boleh sama tapi suara itu bukan saya dan sangat kelakar.
Setakat suara semua orang boleh tiru dan mungkin ia satu kebetulan yang tidak disangka-sangka.
Tambah Shuib lagi, dia mula bermain golf pada 2020 ketika negara berdepan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), serta mengakui dia bahkan tidak pernah memegang kayu golf pada tahun video itu dimuat naik.
Video yang dimuat naik Watie adalah bertarikh 2 April 2019, yang mana pada tahun terbabit saya belum pegang kayu golf lagi. Saya tak tahu mengenai sukan itu pun.
Saya mula bermain golf pada Mei 2020. Ketika itu negara masih melaksanakan PKP tapi sukan golf saja diberi kelonggaran. Sejak itu saya mula menghubungi rakan-rakan untuk bermain sukan ini.
Sebelum ini, nama Shuib menjadi perbualan warganet di TikTok selepas tular video memperlihatkan seorang wanita sedang bermain golf berlatar belakang suara lelaki.
Sumber: Harian Metro