
Penyanyi dan personaliti terkenal, Sissy Imann, selamat diijabkabulkan dengan pilihan hatinya, Dr. Zamir Hilman Dr. Hamzah.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Sissy Imann Tamatkan Zaman Bujang Dalam Masa Terdekat – ‘Awal Perkenalan, Saya Sebenarnya Pesakit Dia’
Artikel Berkaitan: Sissy Iman Teruja Jadi Pengacara Majlis Nikah Amira Othman & Fattah Amin
Nombor plat khas kereta ‘SIS5795’

Sissy dinikahkan sendiri oleh bapanya, Mohammad Kamil Mustaffa, disaksikan ahli keluarga terdekat serta rakan-rakan rapat pasangan mempelai, dalam satu majlis yang berlangsung jam 9.00 pagi di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.
Pelantun lagu Bebas itu menerima seutas gelang emas bernilai RM6,840 sebagai mas kahwin. Bagaimanapun, jumlah wang hantaran tidak didedahkan.
Pengantin perempuan memberi tiga dulang dibalas lima dulang daripada pihak lelaki. Antara hantaran yang paling mencuri perhatian ialah nombor plat khas kereta ‘SIS5795’, gabungan simbolik nama Sissy serta tahun kelahirannya, 1995.
Turut menjadi tumpuan ialah hadiah percutian bulan madu ke Rome, Italy, sebagai simbol permulaan perjalanan bahagia mereka.
Sebelum akad nikah, pasangan ini melangsungkan acara pertunangan yang menyaksikan satu dulang hantaran (pihak lelaki) dibalas dengan tiga dulang (pihak perempuan).
Sissy atau nama lengkapnya Sissy Imann Mohammad Kamil menerima tiga bentuk cincin berlian sebagai tanda pengikat pertunangan.
Pada 1 Disember lalu, Sissy mengesahkan bakal menamatkan zaman bujang dalam satu sesi bertemu media sempena pelancaran single terbaharunya berjudul ‘Dengan Kamu’ yang diadakan di Kuala Lumpur.
Menariknya, lagu ‘Dengan Kamu’ sendiri hadir sebagai sebuah karya peribadi yang sarat emosi tentang proses penyembuhan, belajar mencintai diri dan menghargai insan yang hadir tepat pada waktunya.
Untuk info, Dr. Zamir, 41, merupakan seorang doktor yang pernah merawat Sissy ketika penyanyi itu mendapatkan rawatan pada awal tahun 2025.
Hubungan mereka yang bermula sekadar antara doktor dan pesakit akhirnya membawa mereka ke jenjang perkahwinan.







