Penyanyi, Siti Sairah mengesahkan anak perempuannya yang juga penyanyi, Umairah atau mesra disapa Umai kini telah berhijab sepenuhnya.

Artikel Berkaitan: ‘Anak Itu Bunga Bukan Beban, Mereka Mekar Bila Disiram Kasih Bukan Air Mata’ – Umai

Bertudung sepenuhnya

Sairah, 42, berkata, keputusan itu lahir daripada kerelaan dan kesedaran diri Umai sendiri tanpa sebarang dorongan atau paksaan daripada mana-mana pihak.

“Alhamdulillah, Umai mula bertudung atas kehendaknya sendiri. Katanya sejak mengenakan hijab, dia berasa lebih tenang dan selesa dengan dirinya. Sebagai seorang ibu, tentu saya amat bersyukur dengan keputusan ini”.

Tambah adik kepada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza itu lagi, Umai memilih untuk tidak mengumumkan perkara tersebut secara terbuka kerana mahu melaluinya dengan cara yang sederhana.

“Dia tak mahu buat sebarang pengumuman. Katanya, biar perubahan ini berjalan secara perlahan-lahan saja. Kami sekeluarga sentiasa mendoakan agar dia istiqamah dan terus kuat dengan keputusan yang dibuat”.

Dalam pada itu, Sairah turut menjelaskan langkah diambil Umai itu bukan disebabkan sebarang kejadian tertentu, sebaliknya datang daripada kesediaan dirinya sendiri.

“Tak ada sebab khusus pun. Beberapa hari sebelum bertudung sepenuhnya, dia mula mengenakan tudung setiap kali keluar rumah. Bila saya tanya sama ada dia benar-benar bersedia, dia jawab ya memang itu keputusannya.

“Saya sangat terharu. Tiada ibu yang tidak mahu melihat anak perempuannya menutup aurat. Saya sendiri berusaha untuk istiqamah bersamanya supaya dia terus kuat.

“Saya juga berharap semua pihak dapat sama-sama mendoakan agar Umai kekal dengan niat baik ini. Kadang-kadang doa orang lain itulah yang dimakbulkan Allah. Insya-Allah, semoga Umai terus teguh dengan keputusannya”.

Tiga hari lalu, Umai yang kini berusia 14 tahun mencuri perhatian ramai apabila tampil dengan imej berhijab di media sosial, sekali gus menerima pujian dan sokongan daripada peminat.