Edisi khas segmen #SkoolXTRA mengimbau kembali perjalanan selebriti ketika berada di bangku sekolah, termasuk sisi mereka yang mungkin belum pernah diketahui peminat.

Untuk edisi pertama #SkoolXTRA, pelakon, Raja Atiq berkongsi zaman persekolahannya bukan sahaja dipenuhi pengalaman sebagai seorang pelajar, malah menjadi titik permulaan perjalanan kariernya dalam industri seni.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Raja Atiq Dedah Sikap Selektif Rakan Sekerja Di Set Penggambaran – ‘Tak Serasi Dengan Imej Yang Kau Bawa’

Artikel Berkaitan: ‘Jangan Anggap Diri Artis Paling Popular Sehingga Lupa Adab’ – Raja Atiq

Pendiam, tapi berjawatan besar? Jom semak zaman persekolahan Raja Atiq

1. Pemalu

Mengimbau kembali kehidupannya sebagai seorang pelajar, Atiq mengakui dirinya dahulu seorang yang agak pendiam dan pemalu.

Saya seorang yang pendiam, tetapi kalau ada kawan-kawan di sekolah ajak berborak, saya akan berborak macam biasa.

Sebelum masuk industri, saya memang seorang yang pemalu. Apabila mula masuk industri pada usia 16 tahun, saya belajar untuk menegur dan berkomunikasi dengan orang.

Ketika itu, sebahagian besar masanya dihabiskan di lokasi penggambaran selepas menerima tawaran membintangi drama dan telefilem sebagai pelakon pembantu.

Waktu sekolah ketika berumur 16 tahun, saya banyak sibuk dengan penggambaran drama dan telefilem sebagai pelakon pembantu.

Selepas itu, saya mula menerima lebih banyak tawaran.

2. Minat Mata Pelajaran Sejarah

Berkongsi mengenai mata pelajaran kegemarannya, Atiq memilih Sejarah kerana tertarik untuk mengetahui peristiwa masa lalu yang membentuk negara pada hari ini.

Walaupun tidak memperoleh keputusan yang terlalu tinggi dalam mata pelajaran tersebut, minatnya terhadap Sejarah tetap tidak pernah berubah.

Mata pelajaran kegemaran saya ialah Sejarah. Walaupun markah saya tidak terlalu tinggi, saya suka kerana kita dapat tahu kisah-kisah yang berlaku pada masa lalu sehingga membentuk tanah air.

3. Pernah sandang jawatan pengawas dan ketua pelajar sekolah

Dalam pada itu, mungkin ramai yang tidak mengetahui Atiq pernah menjadi pengawas ketika bersekolah di sebuah sekolah agama di Terengganu, kemudian menggalas tanggunggjawab sebagai ketua pelajar di sekolah agama terletak di Selayang.

Saya pernah menjadi pengawas di sekolah agama di Terengganu. Apabila berpindah ke sekolah agama di Selayang, saya menjadi ketua pelajar.

Tetapi saya tidak dapat meneruskan pengajian di situ dan akhirnya masuk ke sekolah menengah biasa.

4. Pernah didenda, kerja sekolah tak siap!

Seperti kebanyakan pelajar lain, Atiq juga pernah berdepan pengalaman didenda oleh guru kerana tidak sempat menyiapkan tugasan yang diberikan.

Banyak kali juga saya kena denda. Biasalah, apabila ada kerja yang cikgu minta buat tetapi tidak sempat disiapkan, kenalah denda. Tetapi itu tidak bermakna saya nakal atau melakukan perkara yang bukan-bukan.

4. Disiplin Sekolah Dibawa Ke Lokasi Penggambaran

Ditanya mengenai satu perkara yang dipelajarinya di sekolah dan masih diamalkan sehingga sekarang, Atiq memilih disiplin serta kepentingan menghormati masa.

Amalan datang awal ke sekolah diteruskannya dalam kerjaya seni dengan memastikan dia hadir lebih awal di lokasi penggambaran.

Perkara yang saya masih amalkan ialah disiplin, terutama datang awal. Dalam industri, saya akan cuba datang sejam lebih awal untuk menunjukkan kita berdisiplin kepada pihak produksi.

Bukan untuk ‘bodek’, tetapi perkara ini penting kerana kita tidak mahu masa penggambaran menjadi lebih panjang atau tertangguh disebabkan kita.

Selain itu, kita juga perlu belajar untuk bertegur sapa dan berkomunikasi dengan orang,” katanya.