Di sebalik kehidupan glamor dan jadual kerja yang padat, setiap selebriti mempunyai cara tersendiri dalam menguruskan anak. Ada yang memilih bantuan pengasuh, manakala tidak kurang juga yang sanggup berjaga malam, menyediakan susu dan menukar lampin sendiri demi memastikan si kecil sentiasa selesa.

Menerusi #BabyXTRA adalah sebuah segmen khas yang membawa pembaca mengenali sisi sebenar selebriti ketika melalui kehidupan sebagai ibu dan bapa. Segmen ini turut mengetengahkan pengalaman kehamilan, proses kelahiran, cabaran menjaga anak serta perubahan yang dialami selepas berkeluarga.

Artikel Berkaitan: Atiq Azman Bergelar Bapa, Isteri Selamat Bersalin Bayi Lelaki – ‘Alhamdulillah Atas Rezeki Yang Sangat Indah’ 

Artikel Berkaitan: #ThrowbackXTRA: Kontroversi Dituduh Songsang Paling Pelik Pernah Dihadapi, Raja Atiq Akui Kesal

Suka urus lampin anak

Bagi edisi pertama #BabyXTRA, pelakon Raja Atiq berkongsi pengalamannya bergelar bapa sekali gus mengakui kehidupan selepas berkahwin dan dikurniakan cahaya mata telah mengubah dirinya menjadi seorang lelaki yang lebih bertanggungjawab serta penyabar.

Bercerita mengenai peranannya di rumah, Atiq tidak kekok membantu isterinya menguruskan keperluan anak mereka, termasuk menukar lampin dan menyediakan susu.

Malah, dia mengakui suka membersihkan anaknya selepas membuang air besar kerana mahu memastikan si kecil sentiasa berada dalam keadaan selesa.

Saya sendiri tak sangka yang saya dah berkahwin dan mempunyai seorang anak. Kalau ikut perancangan ketika mula masuk industri, saya nak berkahwin pada umur 30 tahun.

Bila dah jadi bapa ni saya jadi lebih bertanggungjawab. Saya suka basuh berak anak sebab saya suka tengok anak saya selesa. Saya buat susu dan isteri saya pun tolong buat semua itu.

Tapi apabila dah jadi suami, kita kena rajin. Saya tetap tolong isteri walau macam mana sekalipun sebab saya tak nak menyusahkan dia. Bagi saya, benda itu pun satu pahala.

Bila orang tengok, mungkin mereka akan fikir saya ini ayah mithali.

Tidak Sanggup Lihat Anak Menangis

Sejak bergelar bapa, Atiq turut menyedari dirinya semakin mudah tersentuh terutama apabila melihat anaknya menangis.

Saya tak boleh tengok anak menangis. Saya akan peluk, cium dan cuba tenangkan dia. Bila dah jadi seorang bapa, kita lagi perlu bersabar dengan isteri, anak dan juga perangai manusia.

Takut Lihat Pengorbanan Isteri

Dalam pada itu, pengalaman menyaksikan isterinya menjalani pembedahan kecemasan ketika melahirkan anak turut meninggalkan kesan mendalam kepada Atiq.

Menurutnya, isterinya pada awalnya merancang untuk melahirkan secara normal, namun keadaan ketika itu menyebabkan prosedur pembedahan caesarean terpaksa dilakukan.

Pada awalnya isteri saya nak bersalin secara normal, tapi bukan rezeki dia apabila terpaksa menjalani pembedahan kecemasan.

Dari situ saya nampak pengorbanan isteri. Saya tak sanggup tengok isteri saya kena belah perut. Perkara itu sangat menakutkan.

Anak ‘skip’ merangkak

Bercerita mengenai perkembangan anaknya, Atiq berkata anaknya, Raja Muhammad Aaryan yang kini berusia lima bulan, merupakan seorang bayi yang tidak banyak meragam dan gemar dibawa keluar.

Anak saya baru masuk lima bulan. Dia tak banyak sangat bising dan dia suka keluar. Dia juga tak suka merangkak sangat. Nampaknya dia macam nak terus berdiri.