
Suami kepada pelakon popular Mira Filzah iaitu Wan Emir Astar memuat naik ucapan romantis sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang kelima.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Mira Filzah Sanggup Berhabis Demi Makanan – ‘Untuk Servis Penghantaran Makanan Saya Bayar RM8,000’
Artikel Berkaitan: Mira Filzah Kongsi Pengalaman Pertama Kali Buat Umrah Sebagai Seorang Ibu & Isteri – ‘Tawaf Tujuh Kali Sambil Dukung Amir’
Nukilan Emir
Menerusi perkongsian di TikTok, Emir atau nama lengkapnya Wan Emir Astar Wan Mohammad Khairil Anuar menulis nukilan istimewa kepada Mira dengan menyifatkan aktres itu sebagai anugerah terindah di dalam hidupnya.
Lima tahun penuh tawa, doa dan cerita dari detik pertama kau hadir di jiwa, ke saat dilafazkan akad untuk menjagamu hingga ke hari ini. Setiap hela nafas perjalanan kita adalah anugerah yang tidak ternilai.
Nur Amirah, kau bukan sekadar isteri..kau adalah sahabatku yang paling setia, peneman dalam setiap langkah, dan redha dengan takdirNya menjadikan kita saling melengkapi.
Bersamamu, belajar dan mengenal makna syukur, mengamati erti pengorbanan. Dalam setiap senyummu, ku temui ketenangan. Dalam setiap tangismu, ku temui bahagia dan kekuatan.
Tambah Emir lagi, sepanjang lima tahun melayari bahtera perkahwinan mereka menempuh pelbagai suka dan duka.
Setiap hari bersamamu adalah nikmat anugerah dariNya. Dari awal hari kita mula dengan doa, dan di malam hari kita akhiri dengan syukur, dahi di tempat sujud kau menjadikan hidup in lebih indah sebagai isteri solehah.
Denganmu, cinta bukan sekadar kata-kata, tetapi sebuah perjalanan suka dan duka, ujian dan rahmat, semuanya menjadikan kita lebih kuat bersama merentasi alam kehidupan dunia, demi cinta kerana Allah Taala.
Rasa syukur
Dalam masa yang sama, Emir turut meluahkan rasa syukur kepada Allah SWT di atas perkahwinan mereka dan berharap kasih sayang yang terjalin berkekalan hingga ke hujung usia.
Hari ini kita sambut lima tahun, syukur alhamdulillah, tetapi kita dua tahu..perjalanan kita baru bermula.
InsyaAllah, mash banyak lagi yang menanti, impian yang ingin kita kejar, doa yang ingin kita makbulkan, dan memori yang akan kita ukir bersama, membina bekal untuk ke negeri abadi. Semoga Allah sentiasa memelihara kasih sayang kita, melindungi keluarga kita, dan memberkati setiap langkah kita bersama.
Selamat ulang tahun perkahwinan yang kelima, Nur Amirah Filzah kekasihku di dunia, permaisuri bidadariku di akhirat.
Sekadar info, Mira dan Emir mendirikan rumah tangga mereka pada 3 September 2020 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Wan Khair Amir yang kini berusia tiga tahun.
Sumber: TikTok Wan Emir