Tabiat membawa telefon masuk tandas dan duduk terlalu lama sebenarnya boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan, terutama risiko buasir yang semakin kerap berlaku dalam kalangan orang muda.

Artikel Berkaitan: Dari Dapur Hingga Ke Kesihatan: Khasiat Luar Biasa Kulit Kayu Manis


Artikel Berkaitan: Pengambilan Daging Merah Secara Berlebihan Boleh Jejaskan Buah Pinggang, Risiko Dapat Kanser – Kajian

Bahaya main telefon dalam tandas

Ketika anda leka melihat skrin, salur darah di bahagian rektum sebenarnya sedang menerima tekanan yang berterusan. Tabiat duduk terlalu lama di atas mangkuk tandas inilah yang dikaitkan dengan peningkatan kes buasir.

Keadaan ini berlaku kerana reka bentuk mangkuk tandas itu sendiri. Apabila duduk terlalu lama, graviti akan menarik berat badan ke bahagian tengah, sekali gus memberi tekanan kuat kepada salur darah di sekitar dubur. 

Tekanan tersebut menyebabkan darah berkumpul, lalu mengakibatkan urat membengkak dan mengembang, dimana keadaan itu dikenali sebagai buasir. 

Selain itu, fokus terhadap telefon juga boleh membuatkan seseorang meneran tanpa sedar walaupun proses membuang sudah selesai. Tekanan berulang ini hanya memburukkan lagi keadaan salur darah tersebut. Dalam masa sama, aspek kebersihan juga tidak boleh dipandang ringan. 

Setiap kali tandas dipam, zarah halus daripada najis boleh tersebar di udara dan melekat pada permukaan seperti skrin telefon. Peranti itulah yang kemudian dibawa ke tempat tidur, digunakan ketika makan, malah didekatkan ke wajah.

Hakikatnya, tandas bukan tempat untuk berlama-lama. Ia sekadar ruang untuk menyelesaikan urusan biologi dengan cepat dan bersih. Mengurangkan masa di tandas kepada beberapa minit sahaja sudah cukup untuk mengelakkan tekanan berlebihan pada tubuh.

Mungkin nampak remeh, tetapi perubahan kecil seperti meninggalkan telefon di luar tandas boleh memberi kesan besar kepada kesihatan. Kadang-kadang, apa yang kita anggap rehat sekejap sebenarnya memberi tekanan senyap kepada badan.

Sumber: Public Health Malaysia