berita

Terasa Ketulan & Berlaku Pendarahan Ketika Buang Air Besar? Korang Mungkin Hidap Simptom Buasir

February 6th, 2020 | by Amirul Asraf
Kesihatan & Hidup Aktif

Penyakit buasir merupakan sejenis penyakit yang berkaitan dengan salur darah vena yang membesar di bahagian bawah rektum dan dubur. Ia boleh terjadi kepada mana-mana individu khusunya golongan dewasa yang berusia 30 tahun ke atas dan wanita mengandung.

Penyakit ini juga sering dikaitkan dengan keadaan meneran semasa membuang air besar dan sembelit. Wanita mengandung mungkin mengalami buasir kerana pembesaran janin menyebabkan tekanan ke bahagian dubur dan juga akibat perubahan hormon. Sekiranya terjadi radang atau bengkak, pesakit akan mengalami kesakitan yang teramat. Kalau korang nak tahu lebih lanjut berkaitan buasir, jom baca!

Buasir dalaman dan luaran

Buasir boleh diklasifikasikan kepada dua bergantung kepada lokasinya iaitu buasir luaran atau buasir dalaman. Kedua-dua ini mempunyai simptom dan masalah yang berbeza.

1. Buasir dalaman (Internal Haemorrhoid)

Merupakan salur darah vena yang bengkak di lapisan dalam rektum. Pesakit akan mengadu terdapat pendarahan selepas membuang najis tanpa kesakitan. Ada juga pesakit yang akan terasa seperti unjuran yang terkeluar dari dubur selepas membuang air besar. Unjuran ini mungkin hilang sendiri atau ada juga yang perlu menolak balik unjuran ini ke dalam.

2. Buasir luaran (External Haermorrhoid)

Merupakan salur darah vena di bahagian bawah kulit luar dari dubur. Pesakit akan mengadu sakit, berdarah, gatal atau bengkak semasa membuang air besar. Kesakitan yang dirasai seseorang itu mungkin berbeza. Ada orang yang mungkin merasa sedikit tidak selesa, tetapi ada juga yang merasa panas atau amat pedih. Sakit yang kuat mungkin berlaku akibat salur darah yang tersumbat oleh darah beku.

Simptom dan tanda-tanda buasir

Selain golongan dewasa dan ibu mengandung, orang yang berlebihan berat badan, berdiri dalam jangka waktu yang lama setiap hari atau selalu mengangkat benda berat mungkin menghidapi penyakit ini. Kesemua keadaan tersebut menyebabkan penambahan tekanan kepada salur vena di rektum dan dubur dan menyebabkan pembengkakan dan pembesaran.

• Pendarahan ketika buang air besar (berak berdarah)
• Ketulan di tempat pembuangan air besar
• Sakit pada ketulan tersebut
• Jika ada jangkitan kuman, ia boleh menyebabkan pembentukkan nanah

Langkah-langkah mengelakkan buasir

Ada beberapa langkah yang boleh diambil untuk mengelakkan buasir dan mengurangkan simptomnya :

1. Lebihkan pengambilan serat dalam pemakanan anda dengan memakan buah-buahan,sayur-sayuran hijau dan bijirin. Jika ingin memakan roti atau bijirin, pilihlah yang mengandungi bijiran penuh (wholemeal).

2. Lebihkan minum air, sebaik-baiknya lapan gelas sehari.

3. Lakukan senaman setiap hari.

Rawatan Buasir

Rawatan selalunya diberikan kepada pesakit yang hanya mengadu simptom tersebut dan rawatan yang selalu diberikan tidak melibatkan pembedahan. Ini kerana majoriti daripada penyakit buasir akan baik dengan sendirinya dengan pengambilan diet yang betul berserta ubat-ubatan yang sedikit sebanyak membantu

1. Diet

Pengambilan diet yang mempunyai serat yang tinggi boleh mengelakkan serta merawat penyakit buasir. Ini kerana ia boleh mengelakkan daripada masalah sembelit. Pesakit dinasihati untuk mengambil satu hidangan sayur untuk ketika setiap kali mengambil makanan yang berat. Kekacang juga salah satu makanan yang mempunyai kandungan serat yang tinggi

Bukan itu sahaja, pengambilan air yang secukupnya juga boleh mengelakkan daripada menghadapi masalah sembelit. Kurangkan makanan yang mempunyai fiber yang rendah seperti roti putih, susu, keju, daging dan makanan terproses.

2. Ubat untuk melembutkan najis

Pengambilan ubat terutamanya lactulose mampu melembutkan najis dan mengelakkan daripada sembelit berlaku.

3. Ikat guna getah (Rubber band ligation)

Boleh dilakukan bagi rawatan buasir dalaman. Rawatan ini adalah sangat ringkas di mana gelung getah yang kecil dipasang dipangkal buasir menyebabkan aliran darah ke kawasan tersebut terhenti dan buasir tersebut mengecut.

4. Pembedahan untuk buang buasir

Pembedahan hanya dilakukan jika pesakit masih mengalami penyakit buasir yang serius walaupun rawatan perubatan telah diberikan secukupnya. Pembedahan selalunya menyebabkan komplikasi dan mempunyai kadar penyembuhan yang lama, tetapi setelah sembuh penyakit buasir jarang menyerang semula berbanding dengan cara rawatan lain. Terdapat beberapa cara yang lain untuk rawatan buasir. Tetapi cara ini adalah cara yang selalu digunakan untuk merawat penyakit ini.

Sumber: Dr Zubaidi Hj Ahmad

The following two tabs change content below.

Amirul Asraf

Senior Content Champion at Rev Media Group
I became a writer to come as close as possible to the heart of the world.

SKIP THIS AD ×