
Insomnia ialah satu gangguan tidur yang menyebabkan seseorang sukar mendapatkan rehat yang cukup serta berkualiti sekaligus menjejaskan kesihatan fizikal dan mental.
Artikel Berkaitan: Public Health Malaysia Kongsi Individu Berisiko ‘Microsleep’ – ‘Cukupkan Tidur Jangan Paksa Diri’
Artikel Berkaitan: Memahami Narcissistic Personality Disorder (NPD) & Kesan Terhadap Kehidupan Seharian
Hidup terjejas
Insomnia bukan sekadar masalah sukar melelapkan mata tetapi ianya juga adalah gangguan tidur yang memberi impak besar kepada kesihatan.
Keadaan ini boleh menjejaskan kestabilan emosi, menurunkan produktiviti harian, serta mengganggu fungsi tubuh badan.
Faktor psikologi seperti tekanan hidup sama ada berpunca daripada bebanan kerja, krisis kewangan, atau masalah peribadi membuatkan minda sukar bertenang sekaligus menghalang tubuh daripada berehat.
Selain itu, masalah seperti kemurungan dan kegelisahan (anxiety) turut memainkan peranan. Individu yang kemurungan sering kali terjaga di tengah malam atau bangun terlalu awal dalam keadaan badan yang tidak bermaya.
Kesakitan fizikal seperti penyakit migrain, artritis atau sakit belakang sering menimbulkan ketidakselesaan yang ketara.
Di samping itu, gangguan tidur spesifik seperti sleep apnea (henti nafas ketika tidur) dan sindrom kaki resah juga menyumbang kepada gangguan kualiti tidur .
Bukan itu sahaja, tabiat harian sangat mempengaruhi kitaran tidur. Pengambilan kafein seperti kopi, teh, minuman tenaga pada waktu petang boleh menghalang rasa mengantuk. Begitu juga dengan alkohol, walaupun ia mungkin membuat anda cepat terlelap, tetapi ia sebenarnya merosakkan kualiti tidur dan menyebabkan anda kerap terjaga.
Rutin yang tidak menentu, seperti bekerja syif malam, tabiat tidur siang yang terlalu lama atau perubahan tempat tidur, juga boleh mengganggu jam biologi badan.
Langkah mengatasi
Salah satu langkah penting untuk mengatasi masalah insomnia adalah dengan mengamalkan tabiat dalam menyokong tidur yang berkualiti.
Aktiviti menenangkan seperti senaman yoga, atau latihan pernafasan mendalam sebelum tidur dapat membantu minda menjadi lebih tenang.
Lakukan juga dengan menulis jurnal untuk meluahkan sebarang rasa cemas atau kebimbangan, cara ini mampu memberikan kelegaan dari segi emosi dan memudahkan untuk tidur.
Di samping itu, tetapkan waktu tidur dan bangun pada waktu yang konsisten setiap hari, termasuk hujung minggu, ianya dapat membantu dalam menyelaraskan jam biologi tubuh dan meningkatkan kualiti tidur.
Langkah terakhir bagi mengatasi masalah insomnia adalah dengan mengelakkan dari tidur pada waktu siang dengan terlalu lama kerana ia boleh menjejaskan kemampuan tubuh untuk tidur nyenyak pada waktu malam.
Sumber: Majlis Keselamatan Negara