Menteri Kanan Keselamatan iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi Sidang Media Perkembangan Keselamatan memaklumkan tentang pembukaan semula surau di pusat membeli belah dan RnR.
Pembukaan semula surau
Menurut beliau, surau-surau di pusat memberi belah dan RnR akan dibuka semula dan rakyat Malaysia yang ingin mendirikan solat di surau, mereka perlu menjaga disiplin diri dan penjarakan sosial yang ditetapkan oleh kerajaan. Bukan itu sahaja, semua restoran, kedai makan, kedai runcit, kedai serbaneka 24 jam dibenar operasi sehingga jam 12 tengah malam mulai esok.
Selain itu, gerai-gerai di RnR juga dibenarkan beroperasi mulai esok.
Tambah beliau lagi, mesyuarat khas juga telah bersetuju untuk membenarkan pembukaan semula zoo di seluruh negara bermula 10 Jun dengan mengikut SOP yang ditetapkan. Beliau turut menasihati orang ramai yang ingin membeli belah supaya tidak membawa anak kecil dan warga emas.
Fokus kepada pematuhan SOP
Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengenakan pelan tindakan baru sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang akan bermula 10 Jun (esok) sehingga 31 Ogos 2020.
Difahamkan juga, PDRM akan menarik balik semua sekatan jalan raya rentas sempadan negeri bermula 10 Jun 2020. Walau bagaimanapun, kes-kes lain seperti Ops Benteng, kes sekatan dalam memantau jenayah dan sebagainya masih tetap diteruskan.
Selepas ini, PDRM akan menumpukan kepada pematuhan SOP sama ada di premis-premis perniagaan, kawasan awam dan juga melalui pasukan petugas khas pemantauan. Pematuhan PKPP di daerah yang melibatkan agensi berkaitan seperti Angkatan Tentera Malaysia, RELA dan APM.
Sumber: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob