Umum mengetahui, pemimpin parti Liga Nasional untuk demokrasi Myanmar (NLD) iaitu Aung San Suu Kyi serta beberapa orang pemimpin lain telah ditangkap oleh sepasukan tentera sejak beberapa hari yang lalu. Susulan daripada penangkapan tersebut, pasukan tentera telah mengisytiharkan darurat selama setahun dan pelbagai desas-desus mengenai rampasan kuasa tentera turut dihebohkan.
Artikel berkaitan: Rampasan Kuasa Oleh Tentera, Suu Kyi Ditahan, Ini Konflik ‘Sebenar’ Yang Sedang Berlaku Di Myanmar
Terbaru, Suu Kyi didakwa di mahkamah atas kesalahan mengikut undang-undang import dan eksport. Mahkamah turut membenarkan tahanan reman selama dua minggu kepada pemimpin berkenaan.
Tentera kawal jalan
Foto: AP News
Menerusi laporan CBS News, Suu Kyi dikenakan pertuduhan tersebut setelah pihak polis menyerbu rumahnya dan menemui beberapa walkie-talkie. Selain itu, Presiden negara itu, Win Myint turut didakwa atas pertuduhan luar biasa mengikut undang-undang pengurusan bencana berhubung menyalahi peraturan mengenai Covid-19 kerana didakwa bertemu pengundi ketika berkempen pada pilihan raya.
Namun begitu, tiada rusuhan yang berlaku susulan rampasan kuasa itu. Ini kerana, pihak tentera telah mengawal kesemua jalan di bandar utama negara tersebut. Walau bagaimanapun, tanda-tanda kemarahan rakyat sudah dapat dilihat apabila doktor dan petugas kelihatan memakai riben berwarna merah dan tidak melakukan tugas yang bukan kecemasan sebagai protes terhadap rampasan kuasa berkenaan.
Hanya terima kerajaan yang kami pilih
Kami hanya menerima kerajaan yang kami pilih. Protes saya bermula hari ini dengan tidak pergi ke hospital. Saya tidak mahu bekerja di bawah pemerintahan diktator.
Menurut seorang doktor di Mandalay, Nor Wint Wah, beberapa pasukan perubatan telah memuat naik di media sosial, gambar mereka memakai riben berwarna merah dengan tabik tiga jari sebagai simbol protes yang ditunjukkan. Di samping itu, aktivis juga melancarkan kempen di Facebook dan meraih 150 ribu pengikut dalam tempoh 24 jam selepas ianya dilancarkan. Penduduk di Yangon, turut dipercayai mengetuk objek seperti periuk dan kuali, serta membunyikan hon kenderaan di seluruh daerah tersebut sebagai tanda protes. Ada juga dalam kalangan mereka yang menyanyikan lagu demokrasi sebagai membantah rampasan kuasa itu.
Sumber: CBS News