Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengucapkan rasa syukur selepas Mahkamah Persekutuan membebaskannya daripada sebarang pertuduhan.

Artikel Berkaitan: ‘Terima Kasih Kepada Tunang Saya Kerana Sentiasa Bersama’ – Ucapan Sorot Perhatian, Netizen Sifatkan Syed Saddiq ‘Green Forest’

Syed Saddiq syukur 

Menerusi hantaran terkini di Instagram, Syed Saddiq memuat naik foto keluarga iaitu bersama ibu bapanya serta tunang, Bella Astillah dan anak-anak.

Dalam hantaran sama, Syed Saddiq menyifatkan perjalanannya untuk mendapatkan pembebasan pada hari ini bukan sesuatu yang mudah.

Alhamdulillah. Hari ini, mahkamah tertinggi negara telah membuat keputusan.

Pembebasan saya kekal. Tetapi hari ini bukan sekadar tentang kebebasan saya. Ini tentang satu prinsip bahawa kebenaran mesti dipertahankan, walaupun harga yang perlu dibayar sangat mahal.

Walau bagaimanapun, Syed Saddiq tetap yakin dengan prinsip yang dipegang dan percaya bahawa keadilan akan berpihak kepada dirinya yang tidak bersalah.

Lebih enam tahun saya melalui proses ini.

Saya tidak lari. Saya tidak menangguh. Saya tidak minta layanan istimewa. Mengapa?

Kerana saya percaya Malaysia mesti dipimpin oleh mereka yang sanggup kehilangan kedudukan demi prinsip, bukan menjual prinsip demi kedudukan.

Saya boleh memilih jalan yang lebih mudah. Saya boleh berdiam diri. Saya boleh tunduk.

Tetapi kalau kita sendiri menyerah ketika diuji, bagaimana kita mahu meminta rakyat terus percaya kepada negara ini?

Saya melawan bukan kerana saya membenci sesiapa. Saya melawan kerana saya terlalu mencintai Malaysia.

Perjalanan ini hampir merampas banyak daripada saya….masa, nama baik dan masa depan.

Tetapi ia tidak pernah merampas kepercayaan saya terhadap Malaysia.

Sokongan keluarga 

Sementara itu, ahli politik tersebut juga menzahirkan penghargaan kepada seluruh ahli keluarga, tunangnya dan pasukan peguam serta orang ramai yang tidak putus-putus memberikan sokongan sepanjang kes tersebut berlangsung.

Terima kasih kepada Mama dan Abuyah, yang menanggung kesakitan ini bersama saya dalam diam. Kepada keluarga, tunang saya, pasukan guaman, sahabat-sahabat, rakyat Muar dan seluruh rakyat Malaysia yang tidak pernah berhenti mendoakan saya, terima kasih.

Perjalanan ini mengajar saya bahawa kuasa itu sementara. Jawatan itu sementara. Tetapi prinsip, maruah dan khidmat itulah yang kita tinggalkan kepada generasi seterusnya.

Hari ini bukan hari untuk membalas dendam.

Saya keluar dari mahkamah bukan dengan kebencian, tetapi dengan tanggungjawab yang lebih besar.

Tidak berlebihan dalam meraikan kemenangannya, Syed Saddiq memaklumkan dia terus menghadiri ke sidang Parlimen sejurus selepas kes tersebut selesai.

Selepas ini, saya terus ke Parlimen. Kerana perjuangan ini tidak pernah hanya tentang saya.

It has always been Malaysia first. Dulu, sekarang dan selamanya.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Syed Saddiq daripada semua pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Bersatu.

Syed Saddiq dilepas dan dibebaskan sepenuhnya daripada sabitan serta hukuman tujuh tahun penjara, dua sebatan dan denda RM10 juta yang dijatuhkan sebelum ini oleh Mahkamah Tinggi.

Sumber: Instagram