
Kakak kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman iaitu Sharifah Amani Syed Abdul Rahman Al-Sagoff mengagihkan sarapan pagi kepada pengamal media yang berkumpul di pekarangan Istana Kehakiman, Putrajaya, pada Isnin.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Saya Tidak Minta Simpati, Apa Saja Yang Jadi Esok, Saya Tiada Penyesalan’ – Syed Saddiq
Artikel Berkaitan: ‘Saya Harapkan Keadilan & Kebenaran, Doakan’ – Syed Saddiq
Kongsi rezeki
Menurut Sharifah Amani, juadah berupa nasi lemak dan lempeng itu merupakan sumbangan daripada adiknya sebagai tanda penghargaan kepada petugas media yang hadir membuat liputan.
Pengamal media berkumpul di lokasi berkenaan bagi mengikuti keputusan rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq.
Terdahulu, Syed Saddiq tiba di mahkamah dengan mengenakan sut hitam lengkap sambil menyatakan harapan agar keputusan yang bakal diumumkan memihak kepadanya.
Turut hadir memberikan sokongan moral ialah ibu bapanya, Syed Abdul Rahman Syed Abdullah Al-Sagoff dan Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz, beberapa ahli keluarga serta tunangnya, Bella Astillah.
Keputusan yang dijadualkan diumumkan pada pukul 9 pagi itu akan menentukan sama ada Syed Saddiq kekal dibebaskan atau diperintahkan menjalani hukuman penjara membabitkan empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram melibatkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).
Sekiranya Mahkamah Persekutuan menolak rayuan pendakwaan, bekas Menteri Belia dan Sukan itu akan terus dibebaskan. Namun, jika rayuan dibenarkan, Syed Saddiq berdepan hukuman berdasarkan sabitan bagi pertuduhan yang dihadapinya.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais, bersama Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah dijangka menyampaikan keputusan rayuan akhir tersebut.