Lari dari topik Anugerah Industri Muzik 19 (AIM 19) sebentar, laporan terbaru dari rakan media iaitu Murai telah memaklumkan bahawa sehari sebelum AIM 19 berlangsung, Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah binti Ariffin telah selamat melahirkan seorang bayi perempuan yang diberi nama Putri Nur Fatihah.
Mungkin rezeki dari Tuhan, kelahiran bayi perempuan terbaru dan juga anak keempat kepada Nora dan suaminya, Johan Nawawi turut disusuli dengan kemenangan Nora di AIM 19 serta menyaksikan penyanyi yang mula menjejak dunia nyanyian pada tahun 1994 merangkul 2 anugerah dalam kategori Rakaman Album Terbaik untuk album “Doa” dan juga Lagu Nasyid Terbaik (Doa).
Untuk pengetahuan, ini merupakan kali ke-5 Nora berjaya merangkul anugerah di Anugerah Industri Muzik yang mula dilangsungkan semenjak tahun 1994 dan dia sudah menyimpan 9 buah trofi dari pelbagai jenis kategori yang dimenanginya. (via Wikipedia)
Nora dan Johan Nawawi telah hidup bersama lebih kurang 20 tahun dan dikurniakan 3 orang anak iaitu Syakir Iman (lelaki), Syakir Alif (lelaki) dan Putri Nur Dahlia (perempuan). Yang terkini, Putri Nur Fatihah telah melengkapkan mereka seisi keluarga.
Semoga berbahagia hingga ke akhir hayat.