berita

‘Tak Kiralah Jika Ibu Bapa Sudah Bercerai, Mereka Tidak Boleh Lepas Tangan’ – Zed Zaidi

January 15th, 2020 | by Azizi Rahman
Isu & Kontroversi

Kisah menyentuh hati membabitkan pelakon cilik, Puteri Balqis nampaknya belum reda dan masih mendapat perhatian dalam kalangan netizen termasuklah dari kalangan rakan artis. Selepas melihat kepayahan hidup yang dilalui kanak-kanak berusia 13 tahun itu, segelintir netizen menyuarakan pandangan dan keprihatinan mereka sambil berharap agar Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) tidak lepas tangan dan segera menghulurkan bantuan kepada Balqis.

Terbaru menerusi laporan Berita Harian, Presiden SENIMAN Zed Zaidi tampil menceritakan pelbagai inisiatif serta pertolongan yang telah disalurkan oleh pihak mereka kepada pelakon itu sebelum ini.

Beri bantuan rumah

Menurut Zed, persatuannya telah membantu Balqis dan ibunya menghuni sebuah rumah yang terletak di Setia Alam pada kadar RM400 sebulan.

Jelasnya, pihak SENIMAN telah berjaya mendapatkan kediaman tersebut pada akhir 2018, dengan cadangan Balqis dan ibunya boleh memiliki rumah itu dengan konsep sewa beli.

Namun katanya, mereka berdua meninggalkan rumah tersebut selepas beberapa bulan dan hidup dalam gelandangan selepas dikatakan tidak mampu membayar sewa bulanan.

Pada 2018, kita berusaha mendapatkan rumah berkonsep sewa-beli di Setia Alam untuk Puteri Balqis dan ibunya menetap. Sebelum itu mereka dikatakan tinggal di Klang dengan kadar sewa RM1,000 yang dianggap mahal.

Namun, maklumat terakhir diterima menunjukkan mereka tidak mampu menjelaskan sewa rumah di Setia Alam sehinggalah kisah mereka dipaparkan dalam program Bersamamu.

Katanya, selain itu pihaknya juga sudah beberapa kali membantu Balqis termasuklah memberi bantuan Baitulmal kepadanya setiap bulan.

Terus jaga kebajikan anak

Tambah Zed, SENIMAN dan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) juga pernah berkunjung ke rumah Balqis bagi menghulurkan bantuan.

Namun katanya, mereka juga perlu prihatin terhadap kebajikan penggiat seni lain yang turut kurang bernasib baik dan mengharapkan agar ibu bapa kanak-kanak itu terus menjaga kebajikan anak mereka dan tidak bersikap lepas tangan meskipun sudah bercerai.

Bantuan yang kita salurkan bukan datang selalu. Jadi, tidak boleh terlalu bergantung kepada kami semata-mata.

Dalam hal ini, keluarga adalah nadi. Tidak kiralah jika ibu bapa sudah bercerai, mereka tidak boleh lepas tangan.

Sementara itu, Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac turut tampil dan memaklumkan bahawa pihaknya sedang berusaha untuk memberikan pelbagai bantuan kepada Balqis terutama dalam aspek pendidikan dan perubatan.

Sumber: Berita Harian

The following two tabs change content below.

Azizi Rahman

Content Champion at Rev Asia Berhad
Semoga dunia kembali pulih!

SKIP THIS AD ×