Pelakon, Mona Allen tampil menjelaskan bahawa penampilannya tanpa hijab dalam siaran langsung yang tular sebelum ini berlaku secara tidak sengaja ketika dia berkunjung ke rumah seorang rakan yang dianggap seperti ahli keluarga sendiri.

Artikel Berkaitan: ’Saya Terima’ – Mona Allen Sedia Ambil Bayi Individu Terlanjur Sebagai Anak Angkat

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Pakai Topi Santa Claus & Main Tukar Hadiah, Netizen Dakwa Mona Allen & Pekin Sambut Krismas?

Tak perasan sedang live

Ketika ditemui OhBulan!, Mona atau nama sebenarnya Munna Hafiraneza Allen, 41, berkata kejadian itu berlaku ketika dia sedang mendukung anaknya di dalam kereta sebelum tiba di kediaman rakannya untuk berehat.

Namun, tanpa disedari, rakannya ketika itu sedang membuat siaran langsung sehingga penampilannya tanpa hijab turut dirakam dan disiarkan kepada umum.

Saya memang berhijab ketika itu.

Cuma tentang berkaitan kontroversi sebelum ini, sewaktu itu, saya sedang mendukung anak dalam kereta dan pergi ke rumah kawan yang saya anggap seperti keluarga sendiri.

Bila dah sampai, saya hendak membuka pintu kereta untuk masuk ke rumah dan berehat.

Tapi saya tak perasan yang kawan saya sedang membuat live.

Jadi, terbukalah aib saya apabila muncul tanpa hijab dalam live itu.

Mungkin ada yang menonton terus screenshot dan sebarkan terus.

Mona berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media X Factor, pra pelancaran single Walu Walu di Urbanhive, Putrajaya pada Selasa.

Sudah maafkan

Dalam pada itu, aktres filem ‘Salina’ mengakui terkejut apabila insiden berkenaan menjadi tular di media sosial.

Tambahnya lagi, dia mengakui berasa sedih kerana usaha yang dilakukan selama ini untuk menjaga aurat seakan-akan tercalar susulan insiden berkenaan.

Saya memang terkejut kejadian itu berlaku di luar jangkaan.

Saya dah berusaha sebaik mungkin untuk menjaga aurat selama empat hingga lima tahun ini.

Tetapi, akhirnya terdedah juga dalam keadaan yang tidak disengajakan.

Saya tidak boleh buat apa-apa sebab ianya itu sudah viral.

Sudah tentu saya rasa sedih kerana selama ini saya berusaha menjaga aurat sebaik mungkin.

Bukan saya seorang sahaja yang menerima kecaman, tapi suami dan anak-anak terkena tempias juga.

Dalam masa sama, Mona memilih untuk memaafkan individu yang terlibat dan enggan menyimpan sebarang dendam terhadap sesiapa.

Saya maafkan mereka.

Tidak perlulah kita berdendam dengan sesiapa.

Apa yang berlaku sudah pun berlalu.