Sebelum ini, bekas penyanyi nasyid iaitu Suhaimi Saad, menempelak kenyataan pelakon, Catriona Ross yang bengang dan kesal dengan tindakan segelintir masyarakat yang pulang ke kampung menjelang ‘total lockdown’.
Artikel berkaitan: ‘Simpan La Kau Punya B*d*h Tu, Jangan Tunjuk Sangat’ – Suhaimi Saad
Terbaru, menerusi laporan Harian Metro, Catriona Ross memberitahu bahawa dia tidak terasa hati dengan Suhaimi Saad yang membidas kenyataannya di media sosial.
Tak pernah kenal siapa Suhaimi
Menurut Catriona, dia tidak pernah kenal siapa Suhaimi sehinggalah mendapat pelbagai maklum balas daripada keluarga, rakan, kenalan, saudara-mara termasuk dalam kalangan pengguna media sosial sendiri.
Pada permulaannya, saya memang tak tahu dia siapa (Suhaimi). Tapi, selepas mendapat tahu bahawa dialah orang yang mempercayai bahawa bumi ini leper, anti vaksin dan pelbagai isu lagi, saya gelak sajalah. Ditambah, Allahyarham ibu saya ada mengajar bahawa Imam Shafie pernah berkata, “aku rela berdebat dengan seorang yang bijak pandai daripada orang yang tidak tahu apa. Kata-kata ini sudah saya pegang sejak kecil lagi.
Tambah Catriona, dia tidak perlu bersembang dengan individu seperti Suhaimi selepas mengetahui pelbagai cerita berhubung bekas penyanyi nasyid tersebut.
Susah nak ubah
Individu seperti ini dia sudah ada kepercayaan sendiri yang memang tak boleh diubah. Biarkan saja dia hidup dalam dunianya sendiri. Jadi, terserah pada dia dengan cara kehidupannya. Bagaimanapun, dalam video saya itu apa yang diperkatakan mengikut fakta. Daripada pemerhatian saya dengan keadaan yang berlaku termasuk perkongsian yang dibuat oleh petugas barisan hadapan. Kasihan pada mereka.
Ujar Catriona lagi, dia tidak sengaja membalas komen Suhaimi di Instagram. Ini kerana, dia menerima terlalu banyak notifikasi yang masuk secara tidak langsung.
Saya hanya menyedarinya sebaik saja individu itu membalasnya. Apapun, saya tiada niat langsung mahu cuba mewujudkan perbalahan dengannya di media sosial.
Terdahulu, Suhaimi meminta Catriona memahami masalah dan keperluan masyarakat yang berbeza. Malah dia turut mengingatkan pelakon itu supaya tidak berasa terlalu megah dengan kenyataan yang sudah dikeluarkan.
Sumber: Harian Metro