berita

Tak Puas Hati Kereta Dibaiki Masih Rosak, Individu Tergamak Bakar Mekanik Sampai Masuk ICU

May 1st, 2021 | by Shahira
Kini Trending

Gara-gara berang kerana kereta yang dihantar adiknya untuk dibaiki masih rosak, seorang lelaki tergamak membakar seorang mekanik dengan menyimbah minyak petrol sebelum menyalakan api di sebuah rumah di Kampung Tersusun Balun Bidai, Kampung Gajah, Perak.

Berang kereta masih rosak

Foto: Kosmo

Menerusi laporan yang dipetik daripada Harian Metro, sebelum kejadian, telah berlakunya pertengkaran mulut antara suspek dan mangsa.

Menurut Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso, suspek yang berusia 50 tahun itu kemudian meminta rakannya membeli minyak petrol di kedai runcit berhampiran sebelum dia bertindak menyimbahnya di atas kepala mangsa.

Suspek menyimbah bahan bakar itu atas kepala mangsa sebelum dia menyalakan api dengan menggunakan penyembur aerosol dan pemetik api.

Terbakar 46 peratus

Foto: Astro Awani

Lebih mengejutkan apabila api mula menyambar mangsa dan menyebabkannya terbakar. Panik dengan situasi itu, suspek dan adiknya cuba memadamkan api tersebut menggunakan paip air. Adik suspek kemudian menghubungi seorang lagi rakan untuk membawa mangsa ke hospital.

Mangsa ditinggalkan di tempat letak kereta di hadapan wad kecemasan hospital. Pemeriksaan mendapati terdapat kesan terbakar pada tubuh mangsa yang ketika itu masih sedar dan mampu bercakap.

Susulan daripada insiden itu, mangsa yang melecur dengan kesan terbakar 46 peratus pada bahagian kepala, pinggang dan kaki kanannya telah dihantar ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Raja Perempuan Bainun, Ipoh untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, pihak polis juga telah menahan keempat-empat individu yang terlibat dan akan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan. Hasil siasatan mendapati kesemua mereka positif methamphetamine.

Sumber: Harian Metro

SKIP THIS AD ×