Seorang guru lelaki iaitu Rosle Abdul Aziz disahkan meninggal dunia selepas terjatuh daripada balkoni ketika melakukan persiapan akhir sempena pembukaan sekolah esok.
Artikel Berkaitan: Sibuk Buat Persiapan Buka Sekolah, Guru Maut Jatuh Dari Balkoni
Menerusi Harian Metro, anak sulung Allahyarham iaitu Muhammad Zulhakim meluahkan rasa sedih atas pemergian ayah tercinta.
Banyak luangkan masa dengan anak-anak
Anak lelaki Allahyarham yang berusia 21 tahun ini memberitahu bapanya itu berkelakuan agak berbeza sejak seminggu yang lalu kerana Allahyarham dikatakan seringkali tidur awal tetapi sejak kebelakangan ini, dia banyak meluangkan masa bersama anak-anak. Tambahnya lagi, bapanya itu hanya akan tidur selepas anak-anak yang lain masuk ke bilik pada jam 12 tengah malam.
Memang agak pelik dan tidak menyangka itu petanda abah akan meninggalkan kami buat selama-lamanya.
Menceritakan kisah itu, sebelum kejadian, Zulhakim memberitahu bahawa bapanya itu ada menghubungi dan meminta menghantarkan dokumen kepadanya di sekolah. Selepas menerima panggilan tersebut, anak sulung kepada 5 beradik ini bersama adiknya telah pergi ke sekolah berkenaan untuk berjumpa dengan bapa mereka.
‘Abah memang minat bertukang’
Namun tidak lama selepas mereka meninggalkan bangunan sekolah tersebut, ibu telah menghubungi dan memaklumkan tentang kejadian yang menimpa bapanya.
Abah sebelum ini ada menceritakan setiap kelas di sekolahnya memasang sinki sebelum pembukaan sekolah esok dan abah memang minat bertukang.
Tambahnya lagi, mereka sekeluarga kini reda dengan ketentuan yang telah ditetapkan oleh-Nya. Allahyarham Rosle Abdul Aziz disifatkan sebagai seorang bapa yang sangat bertanggungjawab, komited dengan kerjayanya sebagai guru serta mementingkan ahli keluarga.
Setiap hari abah hanya menghabiskan masa dengan keluarga, abah tidak suka lepak di kedai kopi seperti orang lain.
Sementara itu, Zulhakim memberitahu jenazah bapanya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pisang Gala.
Sumber: Harian Metro