berita

Tanpa Kehadiran Penonton, AJL35 Bakal Dirai Dalam Norma Baharu Pada 7 Februari Ini

January 11th, 2021 | by Amat
Shout Out!

Anugerah Juara Lagu ke-35 bakal bersiaran secara langsung pada 7 Februari 2021 di Auditorium MBSA, Shah Alam. Anugerah berprestij ini akan mempertaruhkan 12 buah lagu yang telah berjaya ke peringkat final, selain persembahan pembukaan dari barisan penyanyi lagend tanah air.

Artikel berkaitan: Senarai 12 Lagu Bakal Berentap Di Anugerah Juara Lagu Ke-35. Sengit Sungguh!

AJL35 pada tahun ini akan diadakan tanpa kehadiran penonton sesuai dengan norma baharu ketika negara masih lagi di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Bagaimanapun, AJL35 bakal dimeriahkan dengan persembahan memukai daripada kesemua barisan finalis dan penonton yang menonton secara online.

Gandingan pengacara hebat

AJL35 kali ini sekali lagi penampilkan pengacara Sherry Al-Hadad, Haziq Hussni dan Awal Ashaari selaku pengacara di pentas utama. Sebelum ini, mereka bertiga telahpun bergandingan sebagai pengacara di pentas AJL34 lalu dan kombinasi mereka dapat sambutan baik penonton.

Mereka turut mengakui bahawa AJL35 dalam norma baharu ini adalah satu cabaran tanpa penonton di dalam dewan. Namun cabaran paling besar pada kali ini ialah untuk menghiburkan penonton di rumah dengan berinteraksi dengan kamera.

Manakala, Sissy Iman dan Shuk Sahar akan menggalas tugas sebagai pengacara di karpet merah. Acara karpet merah pada kali ini dinamakan ‘Lounge AJL35‘ yang akan menyaksikan pelbagai fesyen dari artis-artis yang datang.

‘Baik Semula’ lagu tema AJL35

AJL35 untuk kali ini juga lebih istimewa apabila pihak TV3 bekerjasama dengan penyanyi dan komposer terkenal iaitu Faizal Tahir bagi mencipta sebuah lagu tema yang berjudul ‘Baik Semula’. Lagu ciptaan Faizal Tahir and friends’ ini akan disiarkan bermula minggu hadapan di setiap corong radio dan sebagai persembahan pembukaan AJL35 kelak. Lagu ‘Baik Semula’ ini akan disampaikan oleh Faizai Tahir, Jaclyn Victor, Siti Nordiana dan Tuju.

Lebih menarik lagi, AJL35 turut menyajikan persembahan pembuka tirai yang dibarisi oleh Ella, Naim Daniel dan Yonnyboii. Selain itu, persembahan interlude AJL35 pula akan digemparkan dengan persembahan bertemakan Projek Band di mana Hujan, Hazama & The Penglipur Lara dan Akim & The Majistret pula akan mempertaruhkan persembahan medley dan ‘mash up’ lagu-lagu terbaik mereka sambil bergandingan dengan Misha Omar, Dayang Nurfaizah dan Ziana Zain.

AJL masih lagi relevan

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios iaitu Dato’ Khairul Anwar Salleh memaklumkan kesemua finalis bakal menandatangani sebuah perjanjian berhubung peraturan dan undang-undang supaya tidak akan berlaku lagi perkara atau persembahan yang tidak diingini seperti AJL dahulu.

Malah, Dato Khairul turut menjawab isu ketidakpuasan hati netizen terhadap pemilihan lagu yang dipilih oleh barisan juri pada peringatkan Separuh Akhir lalu.

Setakat ini, 12 peserta sudah mempersembhakan konsep persembahan dan tiada masalah. Kita sudah memilih panel juri dan kita menghormati keputusan juri. AJL adalah anugerah berprestij bagi memilih juara lagu. Bagi saya, selagi ada lagu selagi itu AJL masih relevan.

Tambahan pula, pada malam final AJL35 yang bakal berlangsung pada 7 Februari 2021 nanti terdapat seramai 10 orang juri yang akan mengadili juara lagu kali ini.

Jadi, lagu manakah yang bakal diangkat sebagai lagu terbaik AJL35? Jangan lupa untuk saksikan Anugerah Juara Lagu ke-35 pada 7 Februari 2021 pada jam 9.00 malam bersiaran langsung di TV3 atau anda boleh menyaksikan secara online di tonton.my, xtra.com atau YouTube TV3 Malaysia Official.

SKIP THIS AD ×