Foto: Sinar Harian
Pelakon, pengarah filem dan penolongnya masing-masing mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, hari ini atas tuduhan memiliki dadah pada hari Ahad yang lalu.
Artikel berkaitan: Penerbit Eksekutif Geram Pengarah, Penolong Pengarah Ditahan Positif Dadah – ‘Kami Takkan Ikat Jamin Mereka, Nama Digugurkan’
Artikel berkaitan: Pelakon, Pengarah & Penolong Pengarah Buat Hal, Kantoi Positif Dadah
Artikel berkaitan: Pelakon Kena Tahan Positif Dadah, Nama Niezam Zaidi Kena ‘Petik’ Dengan Netizen
Buat pengakuan
Menerusi laporan Harian Metro, pelakon, Muhamad Niezam Mohd Zaidi, pengarah, Mohd Latiff Zami, dan penolong pengarah, Saiful Zaidrin Ismail, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Mohd Shazmeer Zamhari.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Niezam memiliki 1.15 gram dadah berbahaya jenis Cannabis di rumah di Taman Chandan Putri, Perak. Sementara itu, Mohd Latiff dan Saiful Zaidrin masing-masing didapati memiliki 0.3 gram dadah jenis Cannabis dan 0.38 gram Methamphetamine pada waktu, tarikh, dan lokasi yang sama.
Mengikut pertuduhan yang dibacakan, Niezam dan Latiff bakal didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. Kedua-dua mereka bakal menerima hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mohon jumlah jaminan diringankan
Manakala bagi pertuduhan ke atas Saiful Zaidrin, ia dibaca mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Syuhada Muhammad Lutfi manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Intan Shafini Mior Shahrin. Sementara itu, Nur Syuhada memohon mahkamah menawarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin kepada Niezam dan Mohd Latiff manakala jaminan RM8,000 kepada Saiful Zaidrin dengan seorang penjamin.
Ujar Intan Shafini pula, dia memohon jumlah jaminan itu dikurangkan kerana mengambil kira tanggungan ketiga-tiga tertuduh selain kesemua mereka kehilangan sumber pencarian sepanjang perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu. Sementara itu, majistret menetapkan jaminan RM3,000 kepada Niezam, RM2,600 kepada Mohd Latiff dan RM3,200 kepada Saiful Zaidrin yang masing-masing dengan seorang penjamin. Sebutan semula kes bagi ketiga-tiga mereka juga telah ditetapkan iaitu pada 1 Disember depan sementara pihak mahkamah menunggu laporan kimia.
Sumber: Harian Metro