berita

Tergamak Jerut Leher Kucing. Memang Kejam!

June 11th, 2019 | by Amat
Kini Trending

Kejam dan tidak berperikemanusiaan! Itulah ungkapan yang sesuai buat individu yang tergamak membunuh dan menjerut leher kucing. Tindakan kejam ini dipercayai dilakukan seorang individu di tangga blok pangsapuri Seksyen 2, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Menerusi laporan Metro, pemilik kucing itu menyedari selepas dimaklumkan jiran yang menemui bangkai haiwan berkenaan di situ.

Bangkai kucing di depan rumah

Pemilik kucing yang hanya dikenali sebagai Asrul berkata menemui bangkai kucing di depan pagar rumah dalam keadaan mulut berbuih.

Pada mulanya, saya ingat ia mati disebabkan racun sebelum ditanam di belakang rumah. Namun, jiran datang ke rumah kira-kira jam 10 malam memaklumkan dia yang meletakkan bangkai kucing di depan rumah saya selepas menemuinya dalam keadaan tergantung dengan tali di tangga depan rumahnya.

Jiran memaklumkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki memegang kucing sebelum mengikat leher haiwan itu dengan tali dan menggantungnya di tangga.

Saya lihat rakaman itu. Percubaan kali pertama dia mengikat leher kucing gagal sebelum dia mengejarnya dan mengikat kali kedua sehingga mati dijerut.

Rakaman CCTV

Hati siapa yang tidak sedih dan sayu apabila melihat keadaan kucing kesayangan diperlakukan sedemikian. Ramai yang tidak sanggup melihat rakaman CCTV ini yang dikatakan begitu kejam dan tidak berperikemanusiaan langsung.

Jika dilihat pada rakaman CCTV itu, lelaki terbabit tidak kelihatan seperti penghuni di kawasan ini. Ada kemungkinan dia orang luar yang saja membuat onar di pangsapuri ini.

Saya sedih dengan apa yang berlaku kerana tindakan lelaki itu amat kejam dan tidak berperikemanusiaan hingga menyebabkan kucing yang sudah dibela sejak tiga tahun lalu mati dalam keadaan menderita.

Serahkan kepada pihak polis

Bagaimanapun, pemilik kucing berkenaan telah membuat laporan kepada pihak polis bagi mengesan dan menangkap individu berkenaan.

Saya serahkan kepada pihak polis. Besar harapan saya untuk melihat pelakunya ditahan dan dikenakan hukuman setimpal supaya ia menjadi pengajaran kepada orang lain supaya tidak memperlakukan haiwan sedemikian.

Sumber: Metro

SKIP THIS AD ×