Penyanyi, Zaki Yamani tampil mempertahankan ibunya, Fatimatuzahra Samat susulan dakwaan segelintir pihak yang menganggap wanita itu terlalu mengawal kehidupan peribadi dan perjalanan kerjaya seninya.

Artikel Berkaitan: Individu Fitnah Zaki Yamani Mohon Maaf – ‘Saya Mengaku Salah’

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Zaki Yamani Beli Mikrofon, Netizen Teka Harga Lebih RM40k – ‘Bagusnya, Muda Lagi Dah Tahu Invest Untuk Kerja’

Ibu penyokong terkuat

Zaki atau nama penuhnya Ahmad Zaki Yamani Jamal Ubaidillah, 20, berkata tanggapan tersebut tidak tepat kerana dia sendiri memerlukan tunjuk ajar daripada ibunya memandangkan masih baharu dalam industri.

Tidak bolehlah kata begitu. Saya memang perlukan ibu saya. Buat masa sekarang, saya masih lagi baru nak menjinakkan diri dalam industri dan baru nak rasa semua benda ini.

Jadi saya perlukan seseorang untuk membimbing apa yang saya buat. Ibu banyak membantu saya dari segi menguruskan persembahan.

Dia adalah pengurus saya. Tanpa dia, saya rasa saya tidak akan menyanyi di pentas yang besar dan sebagainya.

Zaki berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media Hotlink: Geng Bijak Berbajet yang berlangsung di Media Prima Berhad, Bangsar, pada Khamis.

Mengulas dakwaan kononnya dia perlu mendapatkan keizinan ibunya untuk setiap keputusan yang dibuat, Zaki menjelaskan perkara tersebut tidak benar.

Sebaliknya, dia hanya mendapatkan pandangan ibunya apabila berdepan situasi berbeza yang belum pernah dialami, termasuk membabitkan soal kehidupan peribadi.

Bukanlah setiap benda kena minta izin. Tetapi ada perkara yang saya tidak pernah buat sebelum ini contohnya seperti yang sedang dihebahkan sekarang iaitu isu saya bercinta.

Untuk perkara seperti itu, saya akan tanya ibu apa yang perlu dilakukan sebab saya tidak pernah berkawan rapat dengan perempuan sebelum ini.

Saya perlukan seseorang untuk beri nasihat supaya tingkah laku saya tidak terlebih di atas pentas atau di media sosial, supaya tidak nampak pelik.

Dalam masa sama, Zaki mengakui berasa sedih apabila ibunya menjadi sasaran kecaman, sedangkan wanita itu merupakan individu paling banyak berkorban dan menyokong perjalanan seninya sejak awal.

Saya sangat terkilan sebab benda itu mencalarkan nama baik ibu saya. Ibu sudah banyak membantu saya dan sekarang ini tanpa ibu dan doa-doanya, saya tidak akan berada di sini. Tak wujud Zaki Yamani.

Saya perlukan nasihat dia sebab dalam fasa umur 20-an ini kita biasanya suka memberontak. Jadi saya memerlukan sosok seorang ibu untuk menjaga saya.

Dalam perkembangan lain, Zaki merupakan antara barisan selebriti yang menyertai siri Travelog Hotlink: Geng Bijak Berbajet yang akan mula ditayangkan di TV3 bermula 29 Julai ini.