berita

Terpaksa Berkurung Dalam Rumah, Rakyat Malaysia Terkandas Di Hubei Semasa Pulang Sambut Tahun Baru

January 28th, 2020 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Umum mengetahui bahawa kerajaan China menghalang semua penduduk di Wuhan dan Hubei untuk keluar dari rumah sejak berlakunya wabak koronavirus ini. Berkongsi mengenai larangan tersebut, seorang rakyat Malaysia yang mahu dikenali sebagai Ima, berkongsi pengalamannya ketika dikenakan perintah berkurung oleh kerajaan itu.

Suasana sunyi dan jalan lengang

Menerusi laporan Harian Metro, Ima memberitahu bahawa dia mengikut suaminya pulang ke kampung halaman di Xiangyang dalam daerah Hubei untuk meraikan Tahun Baru Cina. Namun, kerajaan negara itu telah menyekat laluan keluar dan masuk  darat serta udara. Tambahnya, dia tidak keluar dari rumah sejak beberapa hari ketika dikenakan arahan berkurung.

Ketika transit di Wuhan, saya dapat merasakan suasana sunyi dan jalan lengang malah semua jalan keluar masuk dikawal tentera. Mereka yang berada di Wuhan diarah berkurung dalam rumah dan saya ketika ini berada di Xiangyang dalam daerah Hubei juga tidak keluar sejak beberapa hari lalu kerana bimbang dengan keadaan diri.

Kerajaan China mengeluarkan surat pekeliling dari rumah ke rumah tidak menggalakkan kami untuk keluar bagi mengelak penyebaran virus itu. Tetapi saudara mara di Wuhan memberitahu mereka dihalang keluar rumah sama sekali ketika ini dan keadaan itu menyebabkan harga barang naik mendadak.

Stok makanan mencukupi

Ima yang sepatutnya pulang ke Malaysia pada 8 Februari ini turut memberitahu bahawa dia tidak pasti dapat pulang atau tidak pada tarikh itu. Berkongsi mengenai pengangkutan awam dan stok makanan, dia memberitahu bahawa semua pengangkutan awam seperti bas dan teksi juga dihalang kerana keadaan wabak itu. Manakala, stok makanan setakat ini memang mencukupi kerana mereka telah membeli awal sebelum sambutan Tahun Baru Cina.

Namun dengan perkembangan terkini wabak itu, saya tidak pasti dapat pulang atau tidak pada tarikh itu. Kerajaan China sudah mengeluarkan surat mengarahkan semua berada di dalam rumah saja, mahu keluar pergi kedai pun tidak boleh walaupun ia hanya terletak lebih kurang 200 meter saja. Pengangkutan awam lain seperti bas, teksi juga dihalang, jadi saya tidak pasti macam mana keadaan di luar sekarang. Memang sudah beli awal, semua orang di sini pun takut nak keluar, sambutan Tahun Baru Cina pun tidak meriah seperti biasa.

Kali terakhir saya keluar rumah pada 24 Januari lalu iaitu sehari sebelum perayaan. Topeng muka pun sudah habis di sini dan kalau boleh saya mahu pulang segera ke Malaysia berikutan risau keadaan diri. Saya tiada pilihan lain melainkan terpaksa tinggal di sini. Saya pun tidak pasti berapa lama tempoh berkurung, kami diberitahu keadaan menjadi semakin teruk. Makin ramai dikhabarkan kena jangkitan dan angka kematian pun meningkat. Kita tidak tahu siapa yang ada membawa virus ini. Paling cepat ia boleh dikesan adalah antara sehari hingga dua hari dan mengalami simptom demam, sakit badan dan selesema. Cara terbaik adalah jangan keluar rumah dan memeriksa suhu badan serta pakai topeng muka. Ini antara yang saya lakukan di sini dan menjaga diri sebaik-baiknya supaya tidak terkena virus itu.

Untuk mengambil langkah berjaga-jaga, Ima turut menggalakkan semua individu memeriksa suhu badan setiap hari.

Sumber: Harian Metro

The following two tabs change content below.

Amirul Asraf

Senior Content Champion at Rev Media Group
I became a writer to come as close as possible to the heart of the world.

SKIP THIS AD ×