
Setelah lebih dua dekad mewarnai industri muzik tanah air dengan karya berunsur dakwah dan mesej positif, kumpulan nasyid tersohor UNIC bakal meraikan perjalanan seni mereka melalui konsert istimewa ‘This Is UNIC: Live In Concert’, yang akan berlangsung pada 20 Disember 2025 di Idea Live Arena, Kuala Lumpur.
Artikel Berkaitan: Kumpulan UNIC Dominasi Dua Kategori Di Anugerah Carta 114
Raikan UNIC
Dianjurkan oleh Triple Am Global, konsert ini menandakan satu bab penting dalam perjalanan dua dekad UNIC, sekali gus menjadi konsert solo penuh pertama mereka selepas kembali bersatu dengan barisan terkini iaitu Bazli Hazwan, Dr. Fitri Haris dan Fakhrul Radhi.
Menurut Bazli, matlamat konsert ini sangat peribadi buatnya selepas lebih dua dekad bersama peminat, inilah masa untuk meraikan perjalanan panjang UNIC dengan mereka yang setia sejak awal lagi.
Kami hendak kembalikan semangat nasyid ke pentas besar, membuktikan muzik dakwah masih relevan dan mampu menyatukan hati ramai orang.
Dr. Fitri pula berkata, setiap segmen persembahan akan disusun berdasarkan fasa sejarah kumpulan ini, membolehkan peminat merasai perkembangan dan warna muzik UNIC sepanjang dua dekad.
Kami mahu peminat rasa setiap fasa evolusi UNIC daripada melodi lama yang membentuk identiti kami sehinggalah ke susunan moden yang lebih segar. Setiap nota adalah kenangan dan setiap lagu membawa mesej.
Dalam pada itu, Fakhrul memaklumkan bahawa persiapan vokal, mental dan fizikal dijalankan dengan teliti demi memastikan persembahan berada di tahap terbaik.
Kami ingin penonton bukan hanya datang untuk menonton, tetapi benar-benar merasai pengalaman konsert ini daripada visual, bunyi, hingga mesej yang kami ingin sampaikan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Triple Am Global, En. Nursyaqif Aimer, berkata penganjuran konsert ini lahir daripada rasa hormat terhadap perjuangan UNIC dalam menyebarkan dakwah melalui muzik.
Kami terpanggil untuk merealisasikan konsert ini kerana melihat keikhlasan dan ketekunan UNIC dalam perjuangan mereka. ‘This Is UNIC’ bukan sekadar konsert, tetapi simbol kekuatan, kesetiaan dan kasih antara artis dan peminat.
Maklumat tiket
Berikut adalah kategori dan harga tiket:
- Ainul Mardhiah – RM249
- Hanya Tuhan Yang Tahu – RM199
- Zinnirah(2nd Level) – RM159
- Mahligai Kasih – RM119
- Balqis (2nd Level) – RM99
- Demi Cinta Suci (2nd Level) – RM89
Untuk makluman, tiket akan mula dijual secara rasmi pada 17 Oktober 2025 melalui laman web rasmi: www.ticket2u.com.my/ThisIsUNIC