
Penyanyi, Ning Baizura mendedahkan Allahyarham Loloq pernah menitiskan air mata kerana terlalu kecewa apabila lagu Awan Yang Terpilu gagal membawa pulang sebarang trofi pada Anugerah Juara Lagu ke-20 (AJL20) pada 2005.
Artikel Berkaitan: AJL40: Marsha Milan Harap Masalah Paru-Paru Tak Jejas Persembahan, Baru Sedar Tak Boleh Makan Pedas
Artikel Berkaitan: Selamanya Berterima Kasih Kepada AJL, Pentas Yang Mengubah Perjalanan Seni Aina Abdul
Arwah Loloq sedih
Menurut Ning, 51, Allahyarham yang juga pencipta lagu tersebut begitu yakin karya berkenaan berpeluang besar untuk menang, namun akur apabila keputusan tidak memihak kepada mereka.
Arwah Loloq ketika itu agak bengang sebab lagu Awan Yang Terpilu tidak menang, dia menangis di belakang pentas. Ini adalah cerita benar.
Dia betul-betul sedih, dia beritahu saya yang yakin lagu itu akan menang tapi tiada rezeki. Saya jawab dengannya kalah atau menang tidak mengapa asalkan sudah beri yang terbaik.
Ning berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media AJL40: First Look yang berlangsung di ibu negara, baru-baru ini.
Dalam masa sama, penyanyi berkenaan turut berkongsi satu fakta menarik mengenai pembikinan lagu ikonik itu apabila mendedahkan Allahyarham Loloq hanya mengambil masa kira-kira empat minit untuk menghasilkannya.
Arwah Loloq buat lagu ini hanya dalam tempoh empat minit sahaja. Tiada dalam Malaysia orang yang saya kenal boleh menulis lirik yang begitu puitis dalam masa secepat itu.
Mengimbau kenangan di pentas AJL, Ning berkata persembahannya menerusi Awan Yang Terpilu kekal menjadi antara momen paling bermakna sepanjang karier seninya.
Momen AJL yang paling saya tidak dapat lupakan ketika menyanyi di atas tikar gulung menyampaikan lagu Awan Yang Terpilu.
Mungkin ada orang yang tidak menjangkakan saya akan menyanyi hanya mengenakan baju kurung biasa sambil duduk.
Konsep persembahan adalah menceritakan asal usul kehidupan saya, budak yang asal dari Kajang dan mempunyai impian untuk menjadi artis.
Untuk rekod, AJL20 menyaksikan lagu Gemilang nyanyian Jaclyn Victor dinobatkan sebagai Juara AJL selain turut memenangi kategori Balada. Kategori Pop Rock pula dimenangi lagu Kata nyanyian Hazami, manakala kategori Etnik Kreatif menjadi milik Aduh Saliha nyanyian Mawi.
Sementara itu, AJL40 dijadual berlangsung pada 15 Oktober depan di Unifi Arena, Bukit Jalil dan akan disiarkan secara langsung menerusi TV3 bermula pukul 9 malam. Edisi kali ini bakal dikendalikan oleh gandingan pengacara Nazz Rahman dan Sissy Iman.