Dalam dunia hiburan, satu kesilapan di atas pentas kadangkala cukup untuk menenggelamkan segala usaha yang dilakukan bertahun-tahun. Lebih sukar apabila momen tersebut berlaku di hadapan jutaan penonton dan terus menjadi bahan perbualan ramai.

Namun, di sebalik kejadian yang memalukan, ada tekanan, rasa bersalah dan ketakutan yang mungkin tidak pernah diketahui orang luar.

Artikel Berkaitan: Ambil Cuti Sehari Selepas AJL35, Nabila Razali Akui Terkilan Ada Rakan Artis ‘Cakap Belakang’

Artikel Berkaitan: Syafinaz Kongsi Video Latihan Nabila Razali, Lagi Sedap Dari Pentas AJL…Meremang Dengar!

Masih Terkesan Isu Vokal Terkucil

Dalam segmen #ThrowbackXTRA minggu ini bersama penyanyi dan pelakon, Nabila Razali yang mengakui insiden suaranya terkucil ketika menyampaikan lagu Peluang Kedua di pentas Anugerah Juara Lagu ke-35 menjadi antara titik paling rendah sepanjang perjalanan seninya.

Meskipun pernah berdepan masalah sama ketika membuat persembahan di beberapa acara lain, kejadian pada malam berprestij itu memberi kesan yang berbeza buat Nabila.

Bukan semata-mata sedih kerana gagal mengawal vokalnya, Nabila lebih terkilan apabila merasakan dirinya telah mengecewakan ramai pihak yang bekerja keras bagi memastikan persembahan tersebut berjalan dengan baik.

Waktu saya terkucil menyanyi, itu adalah titik terendah saya. Waktu itu bukan saya sedih sebab terkucil sebab saya pernah saja menyanyi dan keluar bunyi lain di beberapa acara lain juga.

Tetapi untuk malam itu, saya rasa sudah hampakan komposer-komposer lagu Peluang Kedua tersebut.

‘Saya Rasa Dah Kecewakan Keluarga Dan Pasukan’

Menurut Nabila, perasaan bersalah itu turut melibatkan keluarga, pihak pengurusan serta pasukan penggayaan yang telah melakukan persiapan untuk memastikan dirinya tampil cantik dan menyerlah pada malam tersebut.

Malah, sehingga kini, Nabila masih tertanya-tanya sama ada individu-individu di sekelilingnya benar-benar sudah melupakan kejadian berkenaan.

Saya rasa sudah hampakan dan kecewakan keluarga, pasukan pengurusan serta pasukan penggayaan yang menyiapkan saya untuk kelihatan cantik dan menyinar pada malam tersebut.

Sampai sekarang saya masih lagi merasakan mereka kecewa dengan kejadian malam itu. Harapnya mereka dapat maafkan saya.

Insiden tersebut pernah menjadi antara momen yang paling banyak diperkatakan dalam kerjaya Nabila. Namun, dia tidak membiarkan satu malam yang sukar itu menentukan keseluruhan perjalanan seninya.

Tidak Mahu Mengubah Apa-Apa

Ketika ditanya sama ada dia mahu mengubah sesuatu sekiranya diberi peluang untuk mengulangi semula perjalanan dalam dunia hiburan, Nabila memilih untuk mengekalkan segala yang pernah dilaluinya.

Baginya, setiap kejayaan, kegagalan, kritikan dan pengalaman pahit telah membentuk dirinya menjadi individu yang dikenali pada hari ini.

Nothing. Saya menikmati setiap momen. Daripada awal saya sertai busking dekat universiti dahulu, kemudian saya pergi uji bakat.

Sekarang saya sudah berada di sini dan saya ada lagu yang budak-budak pun boleh menyanyi bersama. Alhamdulillah, walaupun semuanya tidak berjalan seperti yang dirancang, tetapi akhirnya ia berjalan dengan baik.

Nabila turut menyifatkan perjalanan tersebut sebagai pengalaman manis dan pahit yang tidak mahu dipadamkan daripada kehidupannya.

The bittersweet of the journey itu saya menikmati setiap detik.

Tidak Minta Dipuji, Cuma Mahu Usaha Dihargai

Walaupun pernah menjadi sasaran kritikan terhadap kemampuan vokalnya, Nabila bersyukur apabila masih ada pihak yang melihat usaha dan kesungguhannya untuk memperbaiki diri.

Nabila mengakui tidak mengharapkan pujian daripada semua orang, tetapi penghargaan daripada segelintir individu sudah cukup untuk menjadi pembakar semangat.

Saya tak minta pujian dan tak minta cacian juga. Tetapi Alhamdulillah, apabila usaha dilihat walaupun bukan daripada semua orang, daripada seorang atau dua orang pun saya sangat menghargainya.

Saya ambil perkara tersebut sebagai penguat semangat untuk terus berusaha,” ujarnya.

Dalam masa sama, Nabila menegaskan setiap pencapaian yang diterima tidak bermakna dia boleh berhenti belajar dan berada di zon selesa.

Sebaliknya, dia masih mahu memperbaiki kelemahan dan menjadi versi terbaik dirinya, sama ada sebagai penyanyi, pelakon mahupun personaliti yang membawa nama beberapa jenama sebagai duta.

Maksudnya, apabila sudah dapat sesuatu, bukan saya berhenti di situ saja. Saya masih perlu perbaiki diri sendiri untuk menjadi versi terbaik diri saya.

Hanya Bersaing Dengan Diri Sendiri

Nabila yang juga terkenal menerusi lagu Pematah Hati ini juga tidak melihat perjalanan seninya sebagai satu pertandingan dengan penyanyi atau selebriti lain.

Sebaliknya, dia lebih gemar menilai perkembangan diri dengan menonton semula rakaman persembahan lamanya dan membandingkannya dengan kemampuan yang dimiliki sekarang.

Saya tak bersaing dengan sesiapa. Saya hanya bersaing dengan diri sendiri.

Saya selalu tengok semula video nyanyian lama saya dan melihat perbezaannya dengan sekarang.

Nabila turut menghargai individu yang terus membimbingnya untuk meningkatkan mutu persembahan, terutama guru vokalnya, Shafiq Erwin, serta seluruh pasukan yang sentiasa berada di belakangnya.

Alhamdulillah, orang-orang di sekeliling saya banyak membantu saya untuk menjadi lebih baik, terutamanya guru vokal saya, Shafiq Erwin, dan pasukan-pasukan saya yang lain.

Bagi Nabila, malam di pentas AJL35 mungkin tidak akan pernah hilang sepenuhnya daripada ingatan. Namun, daripada momen yang paling mahu dilupakan itulah dia belajar untuk berdiri semula, memperbaiki diri dan terus melangkah meskipun pernah dipandang rendah.

Hari ini, dia tidak lagi melihat perjalanan seninya sebagai perlumbaan untuk membuktikan sesuatu kepada orang lain. Cukuplah jika dirinya yang sekarang lebih baik daripada semalam.

Daripada seorang pelajar Akademi Fantasia, kini suaranya dikenali dan lagu-lagunya turut dinyanyikan kanak-kanak. Perjalanannya mungkin tidak sempurna, tetapi setiap luka, kegagalan dan air mata telah membawa Nabila ke tempatnya hari ini.

Dan mungkin, orang-orang yang pernah dirasakan kecewa terhadapnya sebenarnya tidak pernah menunggu permohonan maaf. Mereka hanya mahu melihat Nabila terus bangkit, menyanyi dan percaya semula kepada dirinya sendiri.