Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Todak Culture, Nurul Hakimi Haque menafikan pihaknya cuba menunggang populariti pempengaruh, Ashraf Anuar dengan menampilkan personaliti itu di pentas Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026, baru-baru ini.

Artikel Berkaitan: Ashraf Anuar Anggap Tak Salah Buat Konten Sedekah Demi ‘View’ – ‘Selagi Bawa Manfaat, Patut Sokong’

Hubungan sahabat

Hakimi berkata, pemilihan Ashraf dibuat atas dasar hubungan persahabatan yang sudah lama terjalin selain pihaknya berbesar hati apabila pempengaruh berkenaan sudi membuat penampilan khas bagi memperagakan koleksi terbaharu Todak Culture.

Kami dan Ashraf sudah berkawan lama, kami menyokong jenama dia. Ini buat julung kali Todak keluarkan koleksi streetwear dan kami perlukan kekuatan daripada jenama lokal dan Ashraf memiliki perkara tersebut.

Semua tahu KLFW menghimpunkan jenama-jenama tempatan, sebab itu kami di Todak menjemput Ashraf. Dia tidak pernah catwalk untuk mana-mana jenama sebelum ini dan kami berbesar hati dia mahu catwalk untuk kami.

Meskipun jenama Todak dan SVG adalah pakaian streetwear, namun kelainan Todak adalah kami fokus kepada gamers. Kami punya matlamat adalah semua gamers juga boleh berfesyen.

Tiada istilah tunggang populariti Ashraf. Insya-Allah selepas ini kami akan berkolaborasi juga dengan jenama-jenama lokal yang lain. Ada peluang juga akan berkolaborasi dengan SVG.

Penyertaan Todak di KLFW 2026 menjadi antara langkah penting buat jenama berkenaan dalam mengembangkan sayap daripada dunia e-sukan kepada bidang gaya hidup dan fesyen.

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Todak Holdings, Khairul Azlan Zainal Ariffin berkata, peralihan itu sudah dirancang sejak beberapa tahun lalu, manakala penyertaan di KLFW menjadi bukti keseriusan Todak untuk melangkah lebih jauh dalam arena fesyen dan gaya hidup.

Bagaimanapun, Todak tidak melihat jenama sedia ada sebagai pesaing, sebaliknya mahu mengetengahkan perspektif baharu dengan menjadikan kolaborasi sebagai antara fokus utama, termasuk membuka peluang kerjasama bersama jenama tempatan dan antarabangsa.

Menerusi Cultured by Todak, mereka turut memperkenalkan koleksi Battle Scar yang diinspirasikan daripada perjalanan jatuh bangun Todak.