Umum tahu, anggota kumpulan Indigo, Badrul Izhan Yeop Abdulah telah menjalani pembedahan membuang semua jari kaki sebelah kiri akibat diabetes, pada September lalu.
RM35 sekali cuci luka
Menurut Bad, 46, ketika ini dia memerlukan wang yang banyak untuk proses mencuci luka yang dikehendakinya membayar RM35 setiap kali rawatan.
Saya terpaksa lakukannya di klinik swasta kerana di klinik kerajaan terpaksa tunggu lama sedangkan saya memang tak larat untuk berbuat begitu. Proses mencuci luka itu perlu dilakukan selang sehari dan setiap minggu memperuntukkan kira-kira RM140.
Ia sesuatu yang sukar sedangkan saya tiada cara lagi untuk dapatkan wang kerana sudah setahun hilang pendapatan.
Tiada pendapatan
Dalam pada itu, Bad menyatakan dia kini bergantung kepada pengeluaran wang skim i-Citra menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menampung kehidupan.
Katanya, isteri tercinta, penyanyi Ashira sebelum ini pernah menyanyi di platform MICO namun terpaksa berhenti selepas lama-kelamaan banyak syarat menyusahkan.
Sekarang memang dah tiada langsung. Pekerjaan saya dulu pun dalam pengendalian acara. Apabila berlaku penularan Covid-19, tiada acara dapat diadakan.
Syukur buat masa ini kami tidak putus makanan lagi. Saya harap sangat ada kerja untuk cari pendapatan.
Selepas ini saya bercadang untuk minta bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Sekurang-kurangnya dapatlah RM300 sebulan. Saya pun tak kisah jika dapat bantuan asnaf kerana sangat memerlukan wang.
Skim i-Citra cuma untuk lima bulan saja. Lepas itu entahlah, harapnya ada lagi sambungan. Wang itulah saya gunakan tanggung anak-anak, nafkah isteri dan membayar bil rawatan. Nasib baik untuk rawatan hospital saya dapat kad OKU (Orang Kelainan Upaya) dalam sebulan, kira okeylah.
Pembedahan itu juga membuatkan pergerakan Bad terbatas dan terpaksa menggunakan ‘walker’ kerana tidak boleh memijak lantai.
Sumber: Harian Metro