Stadium Nasional Bukit Jalil kembali bergegar pada 22 November lalu dengan aksi memukau oleh kumpulan paling berpengaruh dalam industri muzik Malaysia iaitu KRU menerusi Konsert GenKRU The Finale: One More Time.

Artikel Berkaitan: Malique Post Gambar Suasana Konsert KRU, Iman Tang Dedah – ‘Kebetulan Ada Tiket Lebih, Saya Beri Kepadanya’

Padu & memukau!

Lebih 12,000 penonton hadir, menjadikan malam itu bukan sekadar persembahan tetapi satu kapsul masa yang mengembalikan kegemilangan muzik 90-an hingga era kini.

Tiga lagu pertama saja sudah cukup membuktikan stamina KRU tidak pernah pudar. Hampir seluruh stadium berdiri sepanjang tiga lagu pertama disampaikan, memang energi betul!

Tenaga yang dibawa KRU ke pentas menjadi bukti mereka masih berbisa, walaupun usia sudah jauh meninggalkan zaman Voodoo dan Fanatik.

Norman mengakui, mereka tidak sangka masih mampu mengumpulkan peminat dalam jumlah sebegini besar, apatah lagi ini adalah konsert kelima KRU dalam tempoh hanya enam bulan di Kuala Lumpur.

Malah, rekod tersebut belum pernah dicapai mana-mana artis tempatan. Atas sebab itu, mereka enggan mengulangi konsep sama. Peminat meminta lagu-lagu “rare” dan KRU menunaikannya.

Salah satu momen paling mencuit hati ialah paparan visual sepanjang perjalanan kerjaya mereka memaparkan kulit album lama, fesyen baju hujan yang ikonik, suit putih dan gambar di stesen kereta api.

Puas & menghiburkan

Tidak cukup dengan itu, tiga sut putih yang pernah dipakai pada konsert terdahulu dibaling ke arah penonton bertuah dan momen itu membuatkan stadium bergema dengan sorakan.

Norman menyifatkan kemunculan mereka bertiga di pentas selepas lapan tahun sebagai kenangan paling indah tahun ini. Yusry pula mengimbas kembali momen di Axiata Arena yang menurutnya tidak pernah dilupakan.

Edry paling tersentuh apabila berkongsi bahawa 2025 menandakan 34 tahun mereka berkarya. “Selagi diterima, kami akan terus berkarya” katanya sambil menahan sebak apabila memaklumkan kesihatan bapa mereka kurang baik.

Malam itu KRU mempersembahkan lagu baharu yang dicipta khas untuk konsert ini, One More Time sebagai simbol harapan agar lima tahun akan datang peminat masih mengingati momen ini.

Antara kelainan konsert kali ini ialah segmen khas untuk setiap ahli. Setiap “Showtimes” menampilkan karakter muzik masing-masing.

Momen paling dinantikan ketika Juliana Banos muncul menyanyikan Sehidup Semati sebuah lagu evergreen yang seolah-olah menghentikan masa. Kemunculan Elite turut membangkitkan memori lama peminat generasi awal KRU.

Real lagenda

Keghairahan berterusan dengan kemunculan Datuk Seri Vida dan Leona ketika lagu Gerenti Beres, serta Rabbani yang tampil menjayakan Intifada.

Leona pula diundang sebagai kesinambungan sejarah kerana bapanya, Azhar Sulaiman pernah membintangi muzik video Janji Tinggal Janji. Adam AF turut membuat penampilan untuk lagu Terhangat di Pasaran.

Dalam gema muzik dan gegaran persembahan, KRU tidak melupakan sisi kemanusiaan. Mereka berkongsi rasa simpati terhadap sepasang suami isteri yang terlibat dalam kemalangan pada 11 Mei lalu ketika dalam perjalanan ke konsert mereka sebelum ini.

Dengan deretan lagu hit seperti Awas, Mengerti, Voodoo, Oh La La, Negatif, Fanatik dan medley lagu-lagu era keemasan mereka, stadium tidak pernah sunyi.

Persembahan ditutup dengan bunga api, menandakan finale paling meriah untuk perjalanan panjang lebih tiga dekad.

GenKRU The Finale: One More Time bukan sekadar konsert tetapi peringatan bahawa legenda tidak pernah pudar.

KRU bukan sahaja meninggalkan karya, tetapi juga kenangan, budaya, fesyen, inovasi muzik dan semangat yang terus hidup dalam hati peminat.

Sementara itu, Konsert GenKRU The Finale: One More Time turut berolabrasi bersama platform penstriman OTT iaitu VIU Malaysia.

Booth VIU yang dibuka di luar stadium dimeriahkan dengan kehadiran barisan pelakon Satu, Dua….Dia? iaitu Zarif Ghazzi, Ariel Fesol, Rizal Rasid dan Erysha Emyra.