
Memasuki usia pertengahan 20-an bukan lagi waktu untuk seseorang lelaki menjalani kehidupan tanpa perancangan, sebaliknya perlu mula memikirkan kestabilan kewangan dan masa depan.
Artikel Berkaitan: ‘Saya Okay Dipanggil Adik Nasha Aziz, Kakak Bagi Green Light’ – Zairi Aziz
Artikel Berkaitan: ‘Tiada Masalah Kalau Nak Cop Sebagai Anak Emas, Banyak Beri Peluang Kepada Saya’ – Zairi Aziz
Lelaki perlu ada kewangan kukuh
#TipsXTRA merupakan segmen yang mengetengahkan perkongsian, nasihat serta pandangan selebriti mengenai kehidupan, kerjaya, hubungan dan pembangunan diri yang boleh dijadikan panduan kepada pembaca.
Bagi edisi kali ini, pelakon, Zairi Aziz berkongsi pandangannya mengenai perkara yang perlu diberi perhatian oleh golongan lelaki apabila memasuki usia pertengahan 20-an.
Menurut Zairi, usia 24 tahun bukan lagi fasa untuk seseorang lelaki menjalani kehidupan tanpa perancangan, sebaliknya perlu mula memikirkan kestabilan kewangan, simpanan dan masa depan.
Katanya, pada usia berkenaan, seseorang lelaki sudah boleh memikirkan perkara yang lebih serius seperti perkahwinan serta tanggungjawab yang bakal hadir selepas mendirikan rumah tangga.
Kena ada kewangan yang bagus sebab usia 24 tahun ini dah boleh berkahwin dan fikirkan pelbagai benda.
Kedua, perlu ada simpanan sebagai persediaan sekiranya berlaku apa-apa perkara dalam kehidupan.
Bukan ‘show-off‘ barang berjenama
Bagaimanapun, Zairi menjelaskan mempunyai kedudukan kewangan yang baik tidak bermaksud seseorang itu perlu hidup mewah atau memiliki barangan berjenama.
Sebaliknya, ia lebih merujuk kepada kebijaksanaan seseorang dalam menguruskan pendapatan, membuat simpanan dan memastikan setiap komitmen dapat dibayar tanpa membebankan diri.
Kewangan yang baik itu maksudnya kena pandai susun dari segi simpanan dan pembayaran komitmen.
Bukan bermaksud perlu ada barang berharga, contohnya kena ada beg Gucci, kena ada kereta dan sebagainya.
Dalam masa sama, Zairi turut menekankan kestabilan mental dan cara berfikir merupakan antara perkara paling penting yang perlu dibentuk oleh seseorang lelaki apabila semakin meningkat dewasa.
Baginya, kematangan bukan dinilai berdasarkan harta benda atau gaya hidup yang dipamerkan, tetapi melalui cara seseorang membuat keputusan, menguruskan masalah dan memikul tanggungjawab.
Paling penting, seorang lelaki itu kena ada mentaliti yang baik.
Pandangan tersebut secara tidak langsung mengingatkan golongan muda mengenai kejayaan tidak semestinya diukur melalui barangan mewah atau kehidupan yang kelihatan sempurna di media sosial.
Sebaliknya, mempunyai simpanan kecemasan, pengurusan kewangan yang teratur dan pemikiran matang boleh menjadi bekalan penting sebelum melangkah ke fasa kehidupan yang lebih mencabar.








