berita

Tolak Buat Hubungan Seks, Isteri Cedera Parah ‘Dikerjakan’ Suami

June 7th, 2023 | by Shahira
Kini Trending

Hanya kerana si isteri enggan melakukan hubungan seks, seorang lelaki dipercayai tergamak mengugut bunuh dan mencederakan isteri hingga parah secara menghantukkan kepala ke hidung mangsa.

Hantuk kepala isteri, ugut bunuh

Tertuduh iaitu Syed Fakrulrazi Syed Abdul Rahman bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, semalam.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menghantukkan kepalanya ke hidung mangsa manakala pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengugut mahu membunuh isterinya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama, sabit kesalahan membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun atau denda dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan.

Diikat jamin RM10,000

Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin membantah jaminan bagi tuduhan pertama, namun jika mahkamah ingin menggunakan budi bicara membenarkannya, beliau mencadangkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan melaporkan diri balai polis berhampiran.

Peguam bela, Ishak Mohd Kari, memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya sebelum ini bekerja di kedai perabot dan mendapat pekerjaan baharu sebagai mekanik pada 1 Jun lalu dengan gaji RM2,000 sebulan.

Tertuduh dibenarkan diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan. Meskipun pasangan ini tidak lagi tinggal bersama (sejak siasatan kes), tertuduh perlu membayar nafkah kepada isteri dan empat orang anaknya.

Mangsa telah memfailkan tuntutan perceraian secara fasakh di Mahkamah Syariah dan mahkamah menetapkan 10 Julai depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Sumber: Berita Harian

SKIP THIS AD ×