berita

Tragedi Berdarah Menjelang Syawal, Warga Emas Tak Sangka Anak & Cucu Berehat ‘Selamanya’

April 20th, 2023 | by Amirul Ilyasha
Kini Trending

Foto: Berita Harian

Dua beranak disahkan maut selepas terlibat dengan kemalangan yang membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 28 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kampung Pulau Kerengga, semalam (Rabu).

Artikel Berkaitan: Anggota Polis Maut Kemalangan, Tak Sempat Pulang Jumpa Anak Demam

Artikel Berkaitan: Rakan Sekerja Maut, Lori Dipandu Hilang Kawalan

Dalam perjalanan pulang ke kampung

Foto: Al-Hijrah Online

Memetik laporan Berita Harian, pemandu kereta jenis Perodua Alza, Subhi Sayuti Abd Ghani, 43, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala manakala anaknya, Syuhada Hafiya, 7, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Md Dris memaklumkan bahawa kemalangan tersebut dipercayai berlaku ketika dua beranak itu dalam perjalanan pulang ke kampung halaman yang terletak di Taman Hidayah di daerah Marang dari arah Kuala Lumpur.

Kereta yang dipandu mangsa dikatakan memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar sebuah kenderaan jenis utiliti sukan (SUV) Rexton SsangYong.

Pelanggaran berkenaan menyebabkan Perodua Alza itu berpusing dan melanggar bahagian sisi hadapan sebelah kiri sebuah lagi kereta Perodua Kenari.

Kejadian berkenaan menyebabkan pemandu Perodua Alza itu maut di tempat kejadian manakala anaknya pula disahkan meninggal dunia semasa dirawat di HSNZ Kuala Terengganu.

Atok sangka anak dan cucu berehat

Foto: Berita Harian

Dalam pada itu, bapa kepada pemandu, Subhi Sayuti iaitu Abdul Ghani Sulong, 69, memaklumkan bahawa anak dan cucunya itu dijangka tiba di rumah kira-kira jam 8.30 pagi selepas sempat menghantar khidmat pesanan ringkas menerusi aplikasi WhatsApp kepada adiknya kira-kira jam 5 pagi.

Bagaimanapun, sehingga jam 9 pagi, anak dan cucu tidak juga sampai dan kami beranggapan mungkin anak berhenti untuk berehat atau tidur di mana-mana kerana mengantuk.

Namun, sangkaan kami meleset apabila menerima panggilan daripada polis kira-kira jam 10 pagi memaklumkan mereka terbabit dalam kemalangan dengan anak meninggal dunia di lokasi kejadian manakala cucu pula dibawa ke hospital untuk rawatan.

Tambah Abdul Ghani lagi, menantu serta cucu bongsunya yang berada di Sandakan kini dalam perjalanan ke Kuala Terengganu.

Difahamkan, mangsa mengizinkan hajat menantunya yang ingin beraya di Sabah kerana belum pernah meraikan Aidilfitri di sana sepanjang perkahwinan mereka.

Sedih memang sedih kerana ia berlaku beberapa hari sebelum Syawal dan tentunya memberi kesan yang besar tetapi kami reda dengan ketentuan Allah.

Dalam pada itu, pemandu jenis Rexton SsangYong berusia 37 tahun yang bersama lima lagi penumpang mengalami kecederaan dihantar ke hospital yang sama untuk mendapatkan rawatan manakala lelaki yang memandu Perodua Kenari berusia 28 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat kedua-dua mangsa kemudiannya dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik HSNZ untuk tindakan lanjut dengan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: Berita Harian

SKIP THIS AD ×