
Dalam era media sosial hari ini, membina sebuah jenama tidak lagi sesukar dahulu. Dengan ratusan ribu hingga jutaan pengikut di TikTok, Instagram atau Facebook, seorang pempengaruh mampu membuatkan sesuatu produk habis dijual dalam tempoh beberapa jam.
Malah, tidak sedikit yang menggunakan pengaruh tersebut untuk mengembangkan perniagaan sendiri, khususnya dalam industri makanan dan minuman.
Namun persoalan yang sering timbul ialah, sejauh mana populariti benar-benar mampu menjamin kelangsungan sesebuah perniagaan?
ARTIKEL BERKAITAN: Labur RM1.8 Juta Buka Restoran Kedua, Ashhry Dedah Pernah Kena Sihir & Dirompak
ARTIKEL BERKAITAN: Ashhry Buat Kejutan Istimewa Buat Jururawat, Chef ‘Ashhryshoshedap’ Masuk Dapur Seawal 6 Pagi
Populariti bukan alasan untuk rasa selesa
Ramai pelanggan mungkin datang kerana mengenali pemiliknya. Mereka mahu melihat sendiri restoran yang sering muncul di media sosial, merakam gambar dan mencuba menu yang sedang tular.
Tetapi selepas kunjungan pertama itu, keputusan untuk kembali sebenarnya tidak lagi bergantung kepada jumlah pengikut pemilik restoran.
Ia bergantung kepada sesuatu yang jauh lebih asas. Makanan, layanan dan pengalaman yang diterima pelanggan.

Mungkin sebab itulah pempengaruh dan usahawan restoran, Ashhry Atan melihat populariti sebagai satu kelebihan, tetapi bukan alasan untuk berasa selesa.
Baginya, sebaik sahaja seseorang memilih untuk membuka perniagaan, status sebagai selebriti atau pempengaruh tidak lagi membawa makna jika pemilik sendiri tidak mengetahui apa yang berlaku di dalam premisnya setiap hari.
“Maksudnya di sini kita boleh simpulkan, selebriti atau pempengaruh yang meneroka bidang F&B jangan lepas tangan.
“Kebanyakan yang saya nampak, bila mereka buka kedai makan, mereka hanya tinggal kepada staf sahaja. Sebulan dua bulan okey, lepas itu mereka dah tak ada.
“Kau tak tahu servis kau macam mana. Kau tak tahu staf kau macam mana. Sebab itu kebanyakan yang saya nampak, mereka hanya tahan setahun dua tahun, lepas itu tutup.”
Pandangan itu bukan lahir daripada persepsi semata-mata. Ia dibentuk melalui pengalaman yang dilaluinya sendiri.
@xtra_my Wah, serba biru pasangan selebriti Rozita Che Wan & Zain Saidin serta pempengaruh Ashhry Atan hari ni 💙 Che Ta, Zain & Aaisyah menghadiri majlis pelancaran cawangan kedua restoran milik Ashhry, Ashhryshoshedap R&F. Cantik, ala-ala Santorini gitu 💙🤍 #xtramy #xtratonton #xtrapedia ♬ audio originale – Cintya P
Sebelum dikenali sebagai pempengaruh, Ashhry sudah lama berada dalam dunia perniagaan. Dia pernah menjual sayur dari rumah ke rumah ketika kecil, mengusahakan perniagaan kasut dan akhirnya memilih untuk membina jenama restoran sendiri.
Pengalaman itu mengajarnya satu perkara yang tidak pernah berubah, iaitu pemilik perlu memahami perniagaan lebih baik daripada sesiapa pun.


Sebab itu ketika membuka restoran pertamanya, Ashhry tidak terus mengambil tempat di hadapan kamera. Sebaliknya, dia memilih untuk berada di dapur.
Selama hampir setahun, rutin hariannya bermula seawal pagi membeli ikan, ayam dan sayur di pasar sebelum menyediakan makanan, memasak serta melayan pelanggan sendiri. Baginya, itulah satu-satunya cara untuk memahami bagaimana sesebuah restoran benar-benar beroperasi.
Memandang teguran pelanggan dari sudut positif
Pendekatan itu juga menyebabkan Ashhry melihat kritikan daripada pelanggan secara berbeza.
Dalam dunia media sosial, kritikan sering dianggap sebagai serangan terhadap reputasi seseorang pempengaruh. Namun bagi seorang usahawan, kritikan sebenarnya ialah data yang paling jujur.
Ia memberitahu apa yang pelanggan rasa. Apa yang perlu diperbaiki dan mengapa mereka mungkin tidak akan kembali.
“Daripada 100 orang pelanggan, kita tak boleh puaskan hati semua orang. Tetapi kita kena ambil tahu kenapa dia cakap macam itu. Kemudian kita bincang dengan pasukan kita kenapa dia kata makanan kita masin, tak sedap dan sebagainya.”
Pendekatan itulah yang terus dibawanya apabila mengembangkan jenama Ashhryshoshedap menerusi pembukaan cawangan kedua di R&F, Johor Bahru baru-baru ini. Walaupun sudah mempunyai nama dan pelanggan setia di cawangan pertama, Ashhry mengakui dia tidak pernah melihat pembukaan restoran baharu sebagai satu jaminan kejayaan.
Sebaliknya, setiap cawangan perlu dibina dengan standard yang sama, daripada kualiti makanan dan layanan sehinggalah kepada pengalaman yang diterima pelanggan. Baginya, cabaran sebenar bukan sekadar menarik orang ramai datang pada minggu pertama, tetapi memastikan mereka terus kembali walaupun keterujaan awal sudah berlalu.
Jadi pempengaruh bukan jadi tiket berjaya dalam bisnes
Mungkin sebab itulah Ashhry tidak pernah melihat status pempengaruh sebagai tiket automatik untuk berjaya dalam dunia perniagaan.
Populariti boleh mencipta perhatian. Algoritma boleh membawa pelanggan. Video tular boleh memenuhi restoran untuk beberapa hari.


Tetapi tiada satu pun daripadanya mampu menggantikan disiplin menguruskan operasi, memahami pelanggan dan memastikan setiap pengalaman yang diberikan benar-benar memenuhi jangkaan.
Kerana pada akhirnya, pelanggan tidak datang semula disebabkan jumlah pengikut seseorang pempengaruh.
Mereka datang semula kerana mereka percaya, di sebalik nama besar itu, masih ada seorang pemilik yang mengambil berat tentang apa yang dihidangkan di atas meja.





![[VIDEO] ‘Teguran Kepada Azad, Carilah Konten Patuh Syariah & Beradab..Halal, Haram Jangan Dibuat Gurauan’ – PU Syed](https://asset.ohbulan.com/2026/07/aufMf27t-pu-syed.jpg)

