Tindik-menindik pada bahagian tubuh tertentu sering dianggap sebagai simbol gaya, ekspresi diri atau trend fesyen semasa, namun tidak ramai yang menyedari risiko kesihatan di sebaliknya.

Artikel Berkaitan: Risiko Guna Botol Air Plastik Terhadap Kesihatan

Artikel Berkaitan: Ganti Pencungkil Gigi Dengan ‘Floss’: Pilihan Lebih Selamat Untuk Kesihatan Mulut & Gusi

Pelbagai risiko kesihatan

Selain telinga, tindikan pada bahagian sensitif atau separuh tubuh boleh mendedahkan seseorang kepada pelbagai bahaya, termasuk jangkitan bakteria, pendarahan berlebihan, kerosakan saraf serta parut kekal jika tidak dilakukan dengan betul.

Lebih membimbangkan, tindikan yang dilakukan tanpa mempertimbangkan kebersihan serta rawatan susulan boleh menyebabkan komplikasi lebih serius dan menjejaskan kesihatan jangka panjang.

Tindikan pada puting yang sensitif mengundang risiko serius seperti jangkitan bakteria, kerosakan saraf, pendarahan, alahan logam, serta parut keloid.

Proses penyembuhan tindik puting lazimnya mengambil masa antara enam minggu hingga enam bulan, malah ada kes yang memerlukan tempoh lebih lama bergantung kepada keadaan tubuh individu.

Selain itu, trend menindik kemaluan sangat berisiko kerana sifat organ tersebut yang sensitif. Prosedur ini mendedahkan individu kepada jangkitan kuman, pendarahan, parut kekal, serta risiko penyakit berjangkit seperti HIV, Hepatitis B, dan C.

Menindik lidah dengan perhiasan logam bukan sahaja meningkatkan risiko jangkitan, malah boleh menyebabkan kesukaran bercakap, menelan makanan dan kerosakan pada tisu lidah.

Kebiasaannya, tempoh penyembuhan tindik lidah mengambil masa sekitar empat hingga enam minggu, namun sekiranya timbul sebarang komplikasi, rawatan perubatan perlu diperoleh dengan segera.

Tindikan pada kening juga tidak terkecuali daripada risiko kesihatan. Ia boleh menyebabkan simptom seperti migrain, sakit kepala yang teruk, bengkak, pendarahan serta lebam di sekitar mata.

Trend menindik berbilang subang atau besi pada tulang rawan telinga pula boleh membawa kepada masalah keradangan, jangkitan, pembengkakan telinga, kerosakan tisu dan saraf, serta trauma pada struktur tulang rawan.

Sumber: Wanista