Sejak kebelakangan ini, timbul spekulasi rumah tangga pasangan pelakon Uqasha Senrose dan Kamal Adli yang didakwa sedang dilanda badai.
Artikel Berkaitan: Kamal & Uqasha Buktikan Hubungan Dalam Keadaan Baik, Buat ‘Live’ TikTok Bersama
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Kamal Adli Nafi Rumah Tangga Bergolak – ‘Kalau Bergaduh Tu Biasalah, Perempuan Emosi..’
Ujian perkahwinan
Ketika ditemui OhBulan!, Uqasha atau nama lengkapnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen menafikan dakwaan tersebut malah berpendapat setiap pasangan suami isteri pasti akan menjalani ujian rumah tangga.
Bagi saya dalam rumah tangga semua ada naik dan turunnya. Takkan nak kongsikan semua benda di media sosial.
Selagi tidak sampai tahap ke mahkamah, jadi ianya adalah perkara biasa.
Seperti pasangan yang lain, aktres berusia 32 tahun itu berkata, dia dan suami juga pernah bergaduh kerana hal-hal yang kecil.
Nak kata selalu bahagia pun tidak, nak kata sedih juga tidak. Lagi pula kami baru ada anak dan masing-masing pertama kali mengalaminya.
Bergaduh biasa sahaja contohnya saya minta dia basuh tangan sebelum pegang anak.
Uqasha berkata demikian ketika di temui di lokasi penggambaran filem terbaharunya berjudul Bisikan Dosa di Kuang, Selangor pada Rabu.
Pertahankan rumah tangga
Dalam masa yang sama, pelakon filem Hantu Kak Limah itu turut mengakui bukan mudah untuk mempertahankan mahligai cinta yang dibina, namun dia dan Kamal akan tetap mencuba yang terbaik.
Ajal, jodoh dan maut di tangan tuhan. Apabila diuji, sekuat mana kita nak pertahankan itu semua terletak pada diri kita dan pasangan. Semua pasangan Allah uji.
Nak bertahan bukan mudah, malah nak dapatkan syurga pun bukan mudah.
Susah nak bertahan lagi-lagi dengan mulut orang luar. Apa-apa pun mental kena kuat, terutama apabila saya sudah menjadi seorang ibu.
Walau bagaimanapun, Uqasha dan Kamal tidak mengambil pusing akan khabar angin tersebut.
Menjaga emosi adalah lebih penting, perkara kecil sebegini saya tolak tepi terus.
Kami hanya ketawa dan bergurau apabila ada yang berkata rumah tangga kami bergolak. Kami juga tidak mengambil serius tentang hal ini.
Sekadar info, Uqasha mendirikan rumah tangga bersama Kamal pada 5 November 2021 di Janda Baik, Pahang. Mereka dikurniakan seorang cahaya mata yang diberi nama Hawra Uqaira.