Pelakon Aedy Ashraf berkongsi perjalanan hidupnya yang dibesarkan tanpa kehadiran sosok seorang bapa.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Aedy Ashraf Perjelas Imej Buka Baju & Pakai ‘Boxer’ Dalam Filem – ‘Saya Mohon Maaf Andai Ada Yang Kurang Senang’

Artikel Berkaitan: Aedy Ashraf Setuju Kenyataan Lelaki ‘Miskin’ Belum Layak Berkahwin – ‘Aku Salah Seorang’

Lahir tanpa sosok bapa

Menerusi podcast Kita-Kita Aje bersama Datuk Aznil Haji Nawawi, Aedy mendedahkan bahawa bapanya tidak berada di saat kelahirannya kerana menjalani hukuman penjara.

Sewaktu ibu melahirkan saya, sebagai keluarga sempurna mestilah bapa ada sekali bersama ibu di bilik bersalin. 

Tetapi itu tidak berlaku kepada saya. Ibu saya melahirkan saya ketika ayah tiada di situ.  Ayah dipenjara selama enam tahun atas kesalahan dadah dan senjata api. 

Pertama kali saya lahir di dunia, buka mata bapa tiada. Saya membesar tanpa ayah sehingga usia tujuh tahun.

Bagaimanapun, pemilik nama Mohammad Addy Ashraf Rosmadi, 33, ini mengakui bahawa dia tidak pernah membesar dalam rasa kekurangan. 

Itulah hebatnya seorang ibu saya. Saya tak pernah merasakan tidak sempurna sepanjang saya membesar. 

Saya tak ada rasa kekurangan sosok ayah. Ibu sentiasa beri saya segala-galanya sehingga hari ini.

Saya ada tanya fasal ayah tetapi waktu usia tujuh tahun saya tidak tahu apa itu ayah dan tanggungjawab dia. Dia tak pernah ada bersama kami.

Hanya 10 hari bersama bapa

Mengenang kembali pertemuan pertama dengan bapa kandung, Aedy berkata dia dibawa keluar dari rumah tanpa pengetahuan ibunya.

Pertama kali jumpa ayah, sebenarnya dia ‘culik’ saya dari rumah. Kalau tak silap saya, masa itu ibu shooting.

Waktu tu saya dekat rumah tengah tidur, saya sedar-sedar dah ada atas bahu ayah. 

Ayah bawa saya ke rumah dia yang tinggal dengan kawan-kawan. Saya dapat rasa itu bukan ‘rumah’ tapi saya tak takut, cuma rasa tak selamat.

Bagaimanapun dia hanya tinggal bersama bapanya selama seminggu sebelum dipulangkan kembali ke pangkuan ibu tercinta.

Saya rasa seminggu saya tinggal dengan ayah. Dia pun manusia juga, saya rasa dia tak sanggup tengok saya berpisah dengan kakak dan dia hantar semula pulang ke rumah.

Kalau ikutkan, 10 hari je saya hidup dengan ayah. Masa umur 16 tahun apabila saya dah sedia maafkan dia, saya balik Kelantan kampung bapa selama tiga hari. 

Sekarang dia di Kelantan, masih sihat dan dah jadi orang masjid.

Bagi Aedy, tindakan bapanya itu bukanlah niat untuk menyakiti, sebaliknya disebabkan kerinduan seorang bapa terhadap darah dagingnya.

Saya rasa dia buat macam tu sebab nakkan anak dia je.

Saya tahu ayah sayang saya tapi dia seorang lelaki yang tak tahu nak ucap dan tunjuk kata-kata sayang. Saya tak marah dia sebab saya tahu dia pun dari produk sebegitu.

Sumber: Youtube Podcast Kita-Kita Aje!