berita

[VIDEO] Acah-Acah Didera, Rupanya Amah Larikan Diri Bawa Barangan Berharga & Wang Majikan

July 20th, 2023 | by Amirul Ilyasha
Kini Trending

Baru-baru ini tular satu video memaparkan seorang amah warganegara Indonesia menangis di dalam sebuah kereta dipercayai milik seorang pemandu e-hailing.

Artikel Berkaitan: ‘Terima Kasih Dengar Rintihan Netizen’ – Kes Dera Amah, Rozita Kena Penjara 8 Tahun

Dakwa diri didera

Menerusi video itu, wanita tersebut mendakwa dia terpaksa melarikan diri kerana berasa takut selepas didera oleh majikannya sendiri.

Bukan itu sahaja, dia juga mendakwa dirinya sudah dua hari tidak mendapat makanan yang secukupnya.

Pak tolong saya pak, saya sudah tidak tahan saya diseksa oleh majikan, saya mahu balik ke Indonesia.

Dah dua hari saya tak diberi makan (secukupnya), hanya diberikan roti dan itu pun saya kena duduk di belakang (dapur).

Dakwa wanita itu lagi, pasport dan telefon bimbitnya masih lagi dipegang oleh majikannya. Susulan itu, dia meminta pertolongan dari lelaki tersebut untuk membawanya pulang ke Indonesia.

Di akhir video, lelaki tersebut membawanya ke Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru bagi membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi wanita berkenaan.

Rupanya bawa lari wang majikan

Gambar sekadar hiasan

Terbaharu, pihak polis menafikan dakwaan wanita warga asing tersebut yang mengatakan dirinya didera majikan sehingga terpaksa melarikan diri untuk memohon bantuan.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat, hasil siasatan yang dibuat oleh pihaknya mendapati wanita yang berusia lingkungan 30-an itu sebenarnya melarikan diri dari rumah majikannya dengan membawa pelbagai barangan milik majikan berserta wang tunai.

Pada 10.48 malam semalam (Selasa), polis menerima laporan seorang wanita tempatan berusia 52 tahun memaklumkan pembantu rumahnya, seorang wanita warga asing melarikan diri bersama barangan berharga dan wang tunai miliknya, keseluruhannya bernilai RM10,850.

Pembantu rumah itu didakwa melarikan diri dari rumah majikannya pada 11.21 pagi Isnin.

Dalam pada itu, KJRI Johor Bahru juga mengesahkan ada menerima kehadiran amah berkenaan pada jam 12.30 tengah hari Isnin.

Konsul Bahagian Penerangan dan Sosial Budaya KJRI Johor Bahru, Rizali Noor berkata, wanita tersebut difahamkan tiba di Malaysia pada 15 Jun lalu, namun tidak mengetahui nama serta alamat majikan atau agensi yang terbabit.

Dia mengaku bekerja selama dua minggu dan diseksa majikan sebelum bertindak melarikan diri dari rumah majikannya kelmarin.

Pihak KJRI juga memaklumkan sudah melakukan proses untuk menghantar wanita itu pulang manakala pihak polis mengesahkan kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan.

Video

Sumber: Twitter, Harian Metro 

SKIP THIS AD ×