![[VIDEO] Aisha Mazlin Berat Hati Tinggalkan Hot FM, Rancang Kembali Ke Dunia Lakonan & Buka Bisnes](https://asset.ohbulan.com/2026/01/New-Latest-Default-Image-65.png)
Penyampai radio, Aisha Mazlin mengakui berat hati untuk meninggalkan konti Hot FM selepas kontraknya bersama stesen radio berkenaan tidak disambung.
Artikel Berkaitan: Hot FM Catat Rekod Asean, Siaran Langsung Radio Terdalam Di Laut Terbuka
Tingallkan Hot FM

Ketika dihubungi OhBulan!, Aisha, 29, berkata, walaupun perpisahan itu bukan sesuatu yang mudah, dia memilih untuk melihatnya dari sudut positif dan percaya masih banyak peluang menantinya pada masa hadapan.
Kontrak saya memang sudah habis pada bulan Januari dan tidak disambung. Jadi saya teruskan perjalanan hidup seperti biasa.
Tak apa, jangan risau. Sebenarnya banyak lagi benda yang boleh buat dan banyak juga yang saya nak lakukan pada masa depan. Doakan saya, insya-Allah ada rezeki yang lebih baik.
Mengimbas kembali perjalanannya bersama Hot FM, Aisha memberitahu tempoh tiga tahun bersama stesen radio itu tidak singkat dan cukup bermakna dalam membentuk dirinya sebagai pemain industri hiburan.
Kalau ikutkan Januari ini, genap tiga tahun saya di Hot. Tiga tahun itu bukan tempoh yang sekejap. Mestilah rasa berat hati sebab saya masuk industri melalui radio. Dari radio juga saya kenal dunia industri yang sebenar.
Memang sedih untuk meninggalkan, tapi saya tak give up. Insya-Allah kalau ada rezeki, kita akan jumpa di radio, TV, YouTube atau mana-mana platform. Saya akan teruskan kerjaya saya dalam industri.
Berkongsi perancangan selepas ini, Aisha memaklumkan dia bercadang untuk menceburi bidang perniagaan selain terus aktif sebagai pengacara dan lakonan.
Saya nak cuba buka small business dan jadi business owner pula pada masa hadapan. Dalam masa yang sama, saya masih akan teruskan kerja sebagai hos.
Dulu masa kerja radio, tak boleh ambil job sebab kerja setiap hari. Tapi insya-Allah selepas ini, saya akan lebih banyak ambil tawaran berlakon dan mengacara.
Sebelum masuk radio, saya memang bermula dalam dunia lakonan, cuma watak kecil dan tak begitu fokus. Sekarang saya nak kembangkan lagi kerjaya, tambah pengalaman dan teruskan perjalanan.
Untuk rekod, Aisha sebelum ini mengendalikan segmen Hot Squad bergandingan bersama Fizi Ali.








